130 rakyat Singapura tersalah terima dos vaksin Covid-19

Seorang pekerja penjagaan kesihatan menyediakan dos vaksin Covid-19 di pusat vaksinasi di Singapura pada 21 Apr 2021. (FOTO: CNA)
- Advertisement -

SINGAPURA: Seramai 130 rakyat Singapura telah menerima dos vaksin Covid-19 yang tidak betul, termasuk dari segi kuantitinya.

- Advertisement -

Bercakap di Parlimen, Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary, berkata,  berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) pada Isnin (3 Okt) sehingga 26 Sep, 11 orang telah terjejas akibat dos berlebihan manakala 119 orang terjejas akibat pengambilan vaksin yang terkurang.

Ia adalah sebahagian daripada kira-kira 16 juta dos vaksin COVID-19 yang diberikan sejak permulaan wabak itu, lapor CNA.

“Daripada 130 kes berkenaan, tujuh adalah kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun, yang tidak mempunyai sebarang kesan buruk akibat tersalah terima dos vaksin berkenaan.

“Selebihnya ialah orang dewasa, sama ada tidak mengalami reaksi buruk atau pulih dengan lancar,” kata Dr Puthucheary.

Maklum balasnya datang selepas insiden bulan lalu apabila  dua orang dewasa masing-masing diberi satu botol penuh vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 yang tidak dicairkan di sebuah klinik di Hougang.

Seorang dimasukkan ke hospital selepas mengalami sakit kepala dan degupan jantung meningkat dan sejak itu telah dibenarkan keluar. Pesakit lain bagaimanapun  tidak melaporkan sebarang reaksi buruk.

Klinik itu, yang terletak di bawah Kumpulan Perubatan ProHealth, dan doktor yang memberikan vaksin telah digantung daripada Program Vaksinasi Kebangsaan sehingga diberitahu kelak.

Tahun lepas, antara kes lain, seorang wanita berusia 103 tahun tersilap diberi vaksin Covid-19 dos keempat, dan 111 pesakit dan enam kakitangan di Poliklinik Bukit Merah diberi dos vaksin dalam kadar yang lebih rendah. – HARAKAHDAILY 4/10/2022

- Advertisement -