Ebit Lew buatkan ‘wanita malam’ Jakarta menangis keinsafan

Ebit Lew bersama 'wanita-wanita malam' di Jakarta yang tampil dengan jubah dan tudung labuh yang dihadiahkan beliau kepada mereka. (FOTO: Facebook Ustaz Ebit Lew)
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Siapa tidak kenal dengan pendakwah terkenal tanah air, Ustaz Ebit Lew yang sering berdakwah ke serata negara dan dunia serta seringkali membuat kejutan demi kejutan dalam membantu orang-orang yang dalam kesusahan.

- Advertisement -

Di mana sahaja ada musibah, pasti beliau tampil ke hadapan bagi membantu insan yang memerlukan dari semua golongan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan kaum. 

Menerusi Facebook, beliau berkongsi pengalaman beliau yang berjumpa ‘wanita malam’ (prostitute) yang terdiri dari penganut Islam dan bukan Islam di kelab malam di Jakarta, Indonesia baru-baru ini dan menghadiahkan mereka jubah dan tudung.

Menurut Ebit, golongan tersebut amat suka dengan hadiah tudung dan jubah yang diberikan kepada dan memohon beliau mendoakan mereka. 

“Doakan kami ustaz supaya dapat dekat pada Allah. Terima kasih sudi jumpa dan nasihat kami. Kali pertama orang ceramah di kelab malam ini. Ulang kali mereka ucap terima kasih” ujar mereka. 

Mengulas lanjut, Ebit berkata, ada antara mereka yang sudah lama ingin berubah ke arah kebaikan namun belum mempunyai kekuatan 

“Hari ini kami kuat untuk tukar kerja lain. Ingin cari rezeki yang halal walau mungkin susah. Saya ‘capek’ ustaz. Meluah rasa penat jadi begini. Rindu nak sujud pada Allah SWT,” kata mereka lagi. 

Ustaz Ebit berkata, sebahagian mereka sudah berkecimpung dalam perbuatan negatif semenjak umur 14 tahun dan ketika remaja lagi.

“Ada yang pada mulanya kerana keluarga susah dan terdesak ingin membantu keluarga. Ada sebahagian ibu tiada suami yang membesarkan anak seorang diri,” tulisnya melalui hantaran Facebook beliau.

Jelas Ebit, golongan tersebut di Jakarta yang mengenali beliau lantaran selalu melihatnya di media sosial, mengambil peluang berbual dan bergambar kenangan dengan beliau.

Menurutnya lagi, pelbagai soalan tentang Islam diutarakan mereka termasuk tentang hubungan dengan Allah SWT, selain meluahkan kerinduan terhadap ibu bapa masing-masing. 

“Mereka semua menangis apabila saya mula bercakap: ‘Allah SWT sayang kita dia beri banyak nikmat’. Teresak-esak (mereka) menangis. Kata mereka: ‘Pak Ustaz, kami rindukan ibu bapa, rindu nak dekat pada Allah SWT’. Terkejut rasa bila tiba-tiba semua menangis walau mungkin tak faham semua perkataan saya.

“Allah SWT Maha Penyayang. Sentiasa mengetuk hati hamba-Nya. Kita semua sedang diuji. Atas jalan yang sama belum tahu nasib kita disana.

“Untuk dekat pada Allah SWT selalu mengajak orang lain dekat pada Allah SWT. Ya Allah ampunkan kami semua. Terimalah kami semua,” kata Ebit. – HARAKAHDAILY 23/9/2022

- Advertisement -