DAP khianati janji ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’

Bukti PAS parti akidah, DAP parti ideologi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS dan DAP yang pernah bersama suatu ketika dahulu berpecah kerana DAP keluar daripada Pakatan Rakyat serta mengkhianati perjanjian ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’. 

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, usaha-usaha PAS memperjuangkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yakni Islam sebagai agama Persekutuan tidak disenangi DAP. 

Menurut beliau, PAS tidak menggembleng perkara itu sebagai sekadar agama rasmi tetapi memperjuangkannya daripada sudut pelaksanaan selari dengan Islam sebagai dasar PAS. 

“Jadi apabila kita cuba membawa pendekatan yang bersifat sedemikian, ia ditolak mentah-mentah oleh DAP. Dalam erti kata lain, DAP telah melanggar perjanjian, setuju untuk tidak bersetuju dalam perkara-perkara yang bersifat sebegini,” ujarnya. 

Beliau bersiaran langsung dalam rancangan Bual Bicara di Bernama TV bersama hos, Sherkawi Jirim membicarakan tajuk “PAS berakidah, bukan berideologi” di stesen media itu, di sini kelmarin. 

Katanya, hubungan yang berlaku antara dua parti itu selepas PRU13 tersebut melalui koalisi Pakatan Rakyat dan kemudian terpecah itu juga membuktikan PAS parti akidah dan DAP parti ideologi. 

Dalam pada itu menjawab soalan pemanggil mengenai keberadaan PAS di bumi Sabah dan Sarawak, Khairil mengakui parti Islam itu perlu penambahbaikan dalam pendekatannya bersama masa yang bergerak. 

Menjelaskan penerimaan PAS di sana, beliau mengemukakan institusi-institusi pendidikan yang dibangunkan parti ini mendapat sambutan hangat dalam masyarakat yang menghantar anak mereka mengaji. 

Terangnya, pendekatan dakwah sedemikian terbukti apabila wakil PAS diangkat sebagai ADUN lantikan di Sabah dan telah menunjukkan pencapaian dalam khidmat kepada masyarakat. 

PAS juga beritahunya, dalam Muktamar PAS baru-baru ini lebih banyak membicarakan perkara berkaitan luar parti berbanding dalaman parti menerusi tujuh usul yang dibahas di mana satu sahaja usul melibatkan dalaman parti.  

“Enam adalah usaha yang melibatkan tentang kepentingan rakyat. Di antaranya usul berkenaan dengan keselamatan negara dari pendatang tanpa izin, keselamatan rakyat terhadap pendatang tanpa izin yang kita ada usul untuk kita perkasakan. 

“Begitu juga dengan bencana, bagaimana kerajaan boleh meningkatkan kecekapan dalam menghadapi bencana yang perkara ini bukan luar biasa, ia adalah perkara biasa yang kita akan hadapi di awal dan juga hujung tahun.

“Isu tentang bagaimana meningkatkan pendapatan pesawah padi. Ini di antara isu-isu yang kita bawa, isu rakyat. Jadi, saya berasa bangga dengan kematangan perwakilan PAS kerana mereka boleh berbahas umpama mereka di Parlimen.  

“Perbahasan mereka berkait dengan rakyat, bagaimana improvement strategis, cadangan, polisi yang kita boleh angkat kepada kerajaan, melalui Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan Menteri kita untuk menambah baik sistem kerajaan kepada rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -