Treler Jelajah Teguh Pertahan bermula di Besut

Orang ramai memenuhi pekarangan Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak pada pelancaran pra Himpunan Teguh Pertahan di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, di Gong Badak, Terengganu pada 22 Sept 2022. (FOTO HARAKAHDAILY/RIZAL TAHIR)
- Advertisement -

OLeh WARTAWAN HARAKAH

KUALA NERUS: Malam tadi ribuan rakyat Terengganu memenuhi pekarangan Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak pada pelancaran pra Himpunan Teguh Pertahan.

- Advertisement -

Sempena program itu juga, PAS Terengganu telah melancarkan Treler Jelajah Teguh Pertahan yang bermula di Besut sehingga ke Kemaman.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jelajah itu bermula 23 September dan dijangka akan berakhir pada 3 Oktober hadapan.

“Kemuncak program itu akan diadakan Himpunan Teguh Pertahan yang disasarkan kehadiran lebih ramai menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15 tidak lama lagi,” katanya pada pelancaran pra Teguh Pertahan.

Sempena program itu Yang Dipertua PAS kawasan-kawasan naik ke pentas melengkapkan puzzle (susun suai gambar) pada dinding khas yang disediakan.

Tuan Ibrahim (dua dari kiri) pada acara gimik pelancaran pra Himpunan Teguh Pertahan di Gong Badak, Terengganu pada 22 Sept 2022. (FOTO: HARAKAHDAILY/RIZAL TAHIR)

Aktiviti dimulakan Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad sebagai pimpinan pertama yang melekatkan puzzle di dinding di atas pentas.

Puzzle terakhir dilengkapkan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai gimik pelancaran pra Himpunan Teguh Pertahan.

Sempena program itu juga Yang Dipertua PAS Kemaman, Che Alias Abdul Hamid menerima replika cek disampaikan Tuan Ibrahim, selepas diumumkan PAS kawasan paling ramai mendaftar ahli baharu.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah juga mengumumkan punggutan derma pada malam itu belum habis dikira sehingga jam 12 malam tadi.

“Setakat ini sudah lebih RM20,000 yang dikira petugas. Jadi kami merakamkan ucapan terima kasih di sumbangan derma orang ramai,” katanya. 

Orang ramai yang hadir juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan imbas QR bagi merebut hadiah istimewa berupa empat motosikal.

Hari ini pra Himpunan Teguh Pertahan dimulakan munajat pada jam 4.30 pagi di tapak program yang dipimpin Mohd Suhaimi Daud daripada Dewan Ulamak PAS Terengganu.

Pada jam 8 pagi pula diadakan Himpunan Ameerah Terengganu dan jam 4.30 petang pula konvoi Alternative Riding Club (ARC) mengiringi Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus bermula di Jambatan Angkat. 

Menjelang jam 5 petang dijangka menarik kehadiran lebih ramai peserta apabila diadakan bicara dua murabbi yang membabitkan dua tokoh terbabit.

Sementara itu, selepas Isyak pula akan diadakan malam kesenian Islam dan pelancaran dana PRU15. 

Himpunan diteruskan pada hari terakhir pagi esok dengan himpunan pemuda Islam Terengganu. Program dijangka melabuh tirai pada jam 6 petang. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -