Pelan mitigasi jangka panjang elak kenaikan tarif elektrik

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menunjukkan contoh bil elektrik yang mempamerkan jumlah subsidi yang kerajaan tanggung
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) merancang beberapa pelan mitigasi jangka panjang bagi mengatasi krisis tenaga dan kos Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang dijangka semakin meningkat.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata berdasarkan analisis Suruhanjaya Tenaga (ST), harga bahan api di pasaran global masih kekal tinggi berikutan impak peperangan antara Rusia dan Ukraine sejak Mac lalu dan permintaan bahan api arang batu yang tinggi daripada negara lain.

- Advertisement -

Menurutnya, antaranya mengutamakan bahan api yang paling murah untuk penjanaan elektrik dan seterusnya akan mencadangkan kepada Kabinet mengenai pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar untuk tempoh kitaran ICPT yang akan datang.

Katanya, semakan pelarasan tarif elektrik di bawah ICPT yang berikutnya akan dilaksanakan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2023.

“Kementerian juga menyediakan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka masa panjang yang menetapkan hala tuju bagi perancangan pembekalan elektrik negara.

“Ini termasuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu kepada 31 peratus pada tahun 2025 dan 40 peratus pada tahun 2035 sebagaimana sasaran yang ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER),” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang meminta Menteri Tenaga dan Sumber Asli, menyatakan adakah kerajaan akan menaikkan tarif elektrik dalam masa terdekat dan tindakan yang telah dibuat untuk mengekang kenaikan tarif elektrik

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff

Takiyuddin berkata, pelarasan tarif elektrik melalui ICPT disemak setiap enam bulan sekali dengan mengambil kira kos bahan api dan penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang.

Dalam hal ini, katanya kos ICPT bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini adalah sebanyak RM7 bilion bersamaan kadar surcaj 11.81 sen/kWj yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna bagi tempoh Julai hingga Disember 2022.

Bagaimanapun, katanya Perdana Menteri pada 24 Jun lalu mengumumkan pengekalan rebat 2 sen/kWj kepada semua pengguna domestik dan pengekalan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini.

Sehubungan itu, katanya tiada kenaikan tarif elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini kepada semua pengguna di Semenanjung kerana kadar yang sama akan dibayar oleh pengguna seperti sepanjang enam bulan pertama tahun ini berdasarkan penggunaan elektrik masingmasing.

“Kerajaan menampung kos keseluruhan subsidi berjumlah RM5.8 bilion yang sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung bagi mengekang kenaikan tarif elektrik tersebut,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata KeTSA akan terus melaksanakan pelan komunikasi yang komprehensif dan mudah difahami oleh rakyat.

Sebagai langkah awal mulai Julai lalu, katanya jumlah subsidi bil elektrik yang ditampung oleh kerajaan dipaparkan dalam bil elektrik bulanan setiap pengguna supaya rakyat memahami dan menghargai subsidi ditanggung oleh kerajaan bagi seunit elektrik yang digunakan.

“KeTSA juga meneruskan kerjasama dengan kementerian lain yang berkaitan, ST, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Ini bertujuan supaya kempen kesedaran dan penjimatan penggunaan elektrik di media sosial, media cetak dan platform lain yang bersesuaian diteruskan sebagai langkah memupuk penggunaan tenaga elektrik yang cekap di kalangan pengguna,” katanya.

Beliau berharap ini dapat membantu mengurangkan kos operasi syarikat serta perbelanjaan isi rumah, terutama ketika negara dan dunia dilanda ketidaktentuan ekonomi pada masa ini. – HARAKAHDAILY 16/8/22

- Advertisement -