Dato’ Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani

Pejuang Kebangsaan Melayu dari Negeri Sembilan

PENGENALAN

Salah seorang tokoh PAS paling terkemuka pada dekad 1960-an ialah Dato’ Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani. Beliaulah tokoh PAS yang berasal dari Negeri Sembilan yang paling berpengaruh walaupun pada 1950-an PAS mempunyai tokoh-tokoh dari Negeri Sembilan seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Jamaluddin al-Jampuli (guru di Madrasah al-Juneid, Singapura) yang pernah menjadi Naib Yang Dipertua Agung PAS, Mohd Mahzub bin Yunus (Ahli Jawatankuasa Agung PAS), Mohd Yunus Taib (Bendahari Agung PAS) dan Abdullah Akin (Bendahari Agung PAS). Jawatan tertinggi yang pernah dipegang oleh Dato’ Raja Mohd Hanifah dalm PAS ialah Naib Yang Dipertua Agung PAS (1963-1965) sebelum beliau ditahan ISA dalam isu konfrontasi Indonesia. Namanya menjadi terkenal kerana kekentalannya dalam memperjuangkan semangat kebangsaan dan ketuanan Melayu sehingga terperuk di bawah tahanan ISA.

Salsilah Dato’ Raja Mohd Hanifah

Nama sebenar beliau ialah Mohd Hanifah bin Abdul Ghani dan berasal daripada keturunan Bendahara Tun Seri Lanang (Bendahara Johor) penulis Silalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang terkenal itu. Melalui Bendahara Sekudai (Tun Jenal), keturunan Tun Seri Lanang telah bersemenda dengan Batin Sibu Jaya yang melahirkan Nenek Semerga iaitu isteri kepada Lebai Mamat dari Aceh. Anak mereka, Dato’ Keling, adalah Dato’ Shahbandar Sungai Ujong yang pertama. Seorang lagi anak Bendahara Sekudai ialah Dato’ Mohd Tumbu (To’ Kelambu) yang melahirkan keturunan Dato’ Selat, iaitu Dato’ Penghulu Menteri Sungai Ujong yang sekarang ini dipanggil Dato’ Kelana Petra Sungai Ujong pada zaman Dato’ Bador bin Dato’ Chantak (1760-1780). Daripada keturunan ini jugalah Dato’ Mubarak Dohak, Dato’ Kelana Petra Seri Jaya Sungai Ujong sekarang berasal.

Keturunan Nenek Semerga Waris di Air yang mewarisi pegangan Bendahara Tun Jenal yang meliputi laluan air (sungai) dan pantai di Luak Sungai Ujong, yang kemudiannya diiktiraf oleh Sultan Johor sebagai Dato’ Shahbandar Sungai Ujong pada 1715. Enam Dato’ Shahbandar pertama memegang jawatan Dato’ Seri Maharaja Diraja serentak, tetapi Dato’ Kelana Leha (1780-1800) telah melucutkan jawatan Dato’ Seri Maharaja Diraja pada zaman Dato’ Megat menjadi Dato’ Shahbandar untuk mengurangkan kuasanya. Jawatan Dato’ Seri Maharaja Diraja diserahkan kepada Dato’ Sohor, adik Dato’ Megat. Sejak tu, jawatan Dato’ Seri Maharaja Diraja sebagai Tiang Balai Luak Sungai Ujong yang mewakili Waris di Air dipegang oleh keturunan Dato’ Sohor. Dato’ Seri Maharaja Diraja adalah Dato’ Lembaga Waris di Air merangkap Dato’ Lembaga kepada Dato’ Shahbandar Luak Sungai Ujong yang juga selaku penasihat peribadi dan adat kepada Dato’ Shahbandar.

Pemerintahan Dato’ Undang Luak Sungai Ujong dibahagi kepada dua iaitu Lembaga Tiang Balai dan Lembaga Waris Kelana. Dalam Lembaga Tiang Balai inilah Dato’ Seri Maharaja Diraja menjadi anggota bersama Dato’ Andulika Mendulika, Dato’ Akhiruzzaman Rantau, Dato’ Dagang Paroi, Dato’ Amar Setia Anak Undang dan Dato’ Penghulu Muda Labu; manakala Lembaga Waris Kelana dianggotai oleh Dato’ Johan dan Dato’ Maharaja Lela. Dari salasilah adat inilah Dato’ Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani dilahirkan sebagai waris kepada Dato’ Sohor yang memegang jawatan sebagai Dato’ Seri Maharaja Diraja Luak Sungai Ujong sejak awal 1950-an lagi, sehingga meletakkan beliau sebagai salah seorang tunggak adat Minangkabau di Sungai Ujong ketika itu.

Dato’ Raja Mohd Hanifah dilahirkan pada 11 April 1923 di Kampung Melayu Batu 8, Labu, Rasah, Negeri Sembilan dalam keluarga yang menyandang pesaka Dato’ Seri Maharaja Diraja Sungai Ujong daripada keturunan Dato’ Sohor. Beliau mula bersekolah di Sekolah Melayu Labu Ulu pada 1930 hingga 1936. Setelah itu beliau terpilih memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), tetapi pelajarannya terganggu disebabkan oleh kedatangan Jepun dalam Perang Dunia Kedua pada 1942. Beliau terpaksa balik ke Labu dan mula bekerja sebagai kerani di bawah pentadbirnya Jepun. Disebabkan kedudukannya sebagai waris dalam adat Minang, beliau kemudiannya dilantik sebagai Penghulu Mukim Labu sehingga berakhir zaman Jepun pada 1945. Setelah itu beliau kembali ke MCKK untuk menamatkan pengajiannya di sana sehingga lulus Senior Cambridge. Di MCKK, beliau adalah junior kepada Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

Tamat belajar di MCKK pada 1949, beliau memasuki perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir Melayu (MCS) pada 1950. Tetapi perkhidmatan beliau dalam MCS tidak lama kerana memilih untuk bersara pada 1953 atas sebab mahu teribat aktif dalam politik. Pada tahun tersebut berlaku kekosongan jawatan Dato’ Seri Maharaja Diraja, iaitu Tiang Balai Sungai Ujong Waris Di Air, salah seorang pembesar adat yang utama di Luak Sungai Ujong dan beliau dilantik oleh Dato’ Kelana Petra Seri Jaya, Dato’ Mohd Kassim Abdul Rashid sebagai Dato’ Seri Maharaja Diraja berasaskan keturunan di sebelah ibunya sebagai waris soko. Semenjak itu beliau mula bergelar Dato’ Raja. Beliau memegang jawatan penting dalam urusan adat Negeri Sembilan ini sehingga akhir 1960-an di mana beliau telah dipecat oleh Dato’ Kelana mengikut peraturan adat Luak Sungai Ujong kerana dianggap melanggar adat dalam isu konfrontasi Indonesia. Sejak itu, beliau tidak lagi mempunyai kedudukan dalam Lembaga Adat Sungai Ujong.

Pejuang Kebangsaan Melayu

Kemunculan Dato’ Raja Mohd Hanifah dalam politik bermula apabila beliau bersara dari jawatan kerajaan dan membolehkan beliau aktif dalam politik kepartian pada 1953. Pada mulanya beliau menyertai Umno melalui Cawangan Rasah atau Rembau. Sebagai Dato’ Seri Maharaja Diraja, beliau diangkat sebagai Ketua Umno Rasah atau Rembau, kemudian menjadi Ketua Pemuda Umno Bahagian Seremban, sebelum menjadi Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan. Pada 1955, beliau dilantik pula sebagai Setiausaha Umno Negeri Sembilan yang sekali gus meletakkan beliau sebagai tokoh politik yang penting di negeri adat itu. Dengan kedudukan tersebut juga, Dato’ Raja Hanifah telah dilantik memegang beberapa jawatan masyarakat seperti Ahli Lembaga Pelawat Hospital Seremban dan Ahli Lembaga Pelesenan Getah Negeri Sembilan. Dalam Pilihan Raya Umum 1955, beliau telah bertanding di kerusi Majlis Undangan Negeri Rantau dan menang tanpa bertanding.

Setelah menjadi wakil rakyat dalam Majlis Undangan Negeri Sembilan, sekali gus sebagai Setiausaha Umno Negeri Sembilan, Dato’ Raja Mohd Hanifah terlibat dalam tuntutan kemerdekaan, di mana ketika ini Ketua Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman Putra telah mengetuai Rombongan Kemerdekaan ke London untuk mendesak British memberikan kemerdekaan kepada negara ini. Sepulangan mereka dari London, setelah mendengar taklimat mereka, Dato’ Raja Mohd Hanifah menjadi tokoh Umno yang paling kuat membantah kegagalan Tunku Abdul Rahman Putra mendapatkan tuntutan berkaitan hak-hak ketuanan orang Melayu. Kerana tidak berpuas hati dengan kegagalan pemimpin Umno ini, beliau telah menyertai Kongres Kebangsaan Melayu II di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 4-7 Mei 1957 yang dianjurkan oleh Haji Yahya Sheikh Ahmad, pemimpin Umno Kuala Lumpur. Selepas sidang ini, Dato’ Raja Mohd Hanifah telah mengumumkan penyertaan beliau dalam PAS, yang membuatkan Umno memecatnya dari parti kebangsaan itu.

Beliau lebih tertarik dengan idea-idea kebangsaan Melayu, tuntutan hak-hak ketuanan Melayu dan juga gagasan Melayu Raya yang dikemukakan oleh Dr Burhanuddin al-Helmy, Yang Dipertua Agung PAS. Sejak 31 Ogos 1957 itu, beliau menjadi wakil rakyat PAS dalam DUN Negeri Sembilan sehingga 1959. Walau bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum 1959, PAS telah mencalonkan beliau untuk bertanding di Parlimen Pasir Mas Hulu di Kelantan dan beliau memenangi pilihan raya tersebut. Beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu sehingga 1964, di mana dalam Pilihan Raya Umum 1964, beliau telah bertanding mewakili PAS di Parlimen Parit, Perak, tetapi kali ini beliau tewas. Sepanjang menjadi ahli parlimen, Dato’ Raja Mohd Hanifah terkenal sebagai seorang wakil rakyat yang aktif di Dewan Rakyat terutama dalam membahaskan isu-isu Melayu.

Pemimpin kanan PAS

Setelah menyertai PAS, Dato’ Raja Mohd Hanifah telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS mulai 1959 sehingga 1964. Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1964, Dato’ Raja Mohd Hanifah telah diberi kepercayaan oleh Dr Burhanuddin sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat. Walaupun beliau tidak berjaya mengemudi jentera pilihan raya PAS untuk mengutip lebih banyak kerusi, ia tidak menjejaskan kedudukannya sebagai pimpinan utama PAS. Sebaliknya, dalam tahun 1964 itu, beliau terpilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS untuk sesi 1964-1966. Beliau menjadi pemimpin nombor tiga PAS setelah kematian Prof Zulkifli Mohammad dalam kemalangan jalan raya di Kuantan pada Mei 1964, menjadi pembantu kepada Prof Dr Burhanuddin al-Helmy (Yang Dipertua Agung PAS) dan Dato’ Mohd Asri Haji Muda (Timbalan Yang Dipertua Agung PAS).

Ketika Dato’ Raja Mohd Hanifah mula menyertai PAS ini, dengan pengaruh Dr Burhanuddin al-Helmy, beliau mulai berminat dengan amalan-amalan tariqat dan tasawuf sebagai amalan untuk mengukuhkan hubungannya dengan Allah. Secara kebetulan, Negeri Sembilan terkenal dengan Tariqat Naqsyabandi yang diasaskan oleh Sheikh Mohd Said Linggi. Pada masa ini, putera Sheikh Mohd Said, Sheikh Ahmad adalah Mufti Negeri Sembilan merangkap Khalifah Tariqat Naqsyabandiyah Ahmadiah yang tinggal di Rasah, tidak jauh dari rumahnya. Beliau mengambil kesempatan untuk belajar ilmu tariqat dengan mufti ini sehingga mereka menjadi begitu rapat. Dicatatkan juga, kerana hubungan mereka ini, Datuk Sheikh Ahmad sentiasa mendoakan kemenangan calon-calon PAS dalam pilihan raya, terutama Dato’ Raja Mohd Hanifah sendiri yang menjadi Pengarah Pilihan Raya PAS pada 1964.

Kerana perjuangan Melayu Raya dan penentangan PAS terhadap penubuhan Malaysia, Dato’ Raja Mohd Hanifah didakwa telah terlibat dalam gerakan subversif, iaitu rancangan untuk menubuhkan kerajaan dalam buangan di Karachi dengan dukungan Indonesia sejak 1964. Beliau dikatakan telah pergi ke Tokyo ketika Sukan Olimpik sedang berlangsung untuk bertemu dengan ejen-ejen Indonesia bagi mengatur rancangan kerajaan dalam buangan itu. Beliau juga dituduh turut mengatur untuk membawa Dr Burhanuddin al-Helmy ke Kerachi bagi tujuan tersebut pada awal 1965. Sebelum sempat mereka ke Karachi, pada 26 Januari 1965, Dato’ Raja Mohd Hanifah dan Dr Burhanuddin al-Helmy telah ditahan di bawah ISA kerana isu Ganyang Malaysia ini. Di sebalik pengakuan Dato’ Raja Mohd Hanifah mengenai keterlibatannya, para pemimpinan PAS yang lain, termasuk Dr Burhanuddin dan Dato’ Mohd Asri telah menafikan penglibatan PAS di dalam gerakan subversif ini.

Setelah setahun ditahan di bawah ISA, Dato’ Raja Mohd Hanifah dibebaskan oleh kerajaan dengan sekatan politik sehingga beliau tidak dapat bergiat cergas sehingga tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Dalam tempoh inilah, kedudukan beliau sebagai Dato’ Seri Maharaja Diraja Luak Sungai Ujong telah dilucutkan oleh Dato’ Kelana di atas sebab tindakannya yang dianggap melanggar adat. Setelah penggantungan politik pasca darurat 1969 berakhir pada 31 Ogos 1970, beliau mulai cergas semula dalam politik dan kembali aktif dalam kepemimpinan PAS. Dalam pemilihan parti pada 1971, beliau kembali menduduki Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk dua sesi sehingga 1975. Di samping itu, Tun Razak telah menawarkan kepada beliau untuk menjadi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sembilan pada 1973, iaitu setelah PAS menyertai Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1 Januari 1973, tetapi beliau menolaknya kerana tidak sebulu dengan Dato’ Mansor Osman, Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu.

Untuk menyelesaikan masalah ini, Tun Razak telah mewujudkan jawatan Timbalan Pengerusi Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) dan melantik Dato’ Raja Mohd Hanifah ke jawatan tersebut mewakili PAS. Walau bagaimanapun, pada 1975, telah timbul krisis dalam kepemimpinan PAS akibat pergeseran Dato’ Mohd Asri dengan beberapa pemimpin PAS seperti Ustaz Abu Bakar Hamzah, Ustaz Amaluddin Darus dan lain-lain, termasuk Dato’ Raja Mohd Hanifah. Akibat daripada pergolakan ini, beliau akhirnya dipecat daripada PAS pada 1976. Walaupun telah dipecat dari PAS, Dato’ Raja Mohd Hanifah tidak melibatkan diri dengan kumpulan-kumpulan politik serpihan PAS yang muncul pada dekad 1970-an seperti Barisan Bebas Bersatu, IMAM dan Berjasa, sebaliknya beliau hanya memberi tumpuan kepada tugasnya di LUTH sehingga tercetus pergolakan besar pada akhir 1977 yang menyebabkan PAS ditendang keluar dari BN.

Sebagai bekas ahli PAS yang dipecat, Dato’ Raja Mohd Hanifah telah ditawarkan oleh kawan-kawan lamanya dalam Umno Negeri Sembilan, seperti Datuk A Samad Idris supaya beliau menyertai semula Umno. Kerana tidak senang dengan corak kepemimpinan Datuk Mohd Asri yang menyulitkan beliau kembali bersama PAS, akhirnya pada 1978 beliau mengambil keputusan untuk menyertai semula Umno, tetapi beliau tidak memegang sebarang jawatan penting dalam parti itu. Penyertaan semula beliau ke dalam Umno ini telah membolehkan beliau kekal sebagai Timbalan Pengerusi LUTH, satu jawatan yang dipegang sehingga akhir hayatnya. Pemecatan beliau dari PAS itu sebenarnya merupakan tarikh persaraan beliau dari politik yang beliau aktif sejak 1953. Setelah itu, beliau lebih banyak memberi tumpuan kepada kegiatan masyarakat termasuk pernah menjadi Nazir Masjid Rasah.

Dato’ Raja Mohd Hanifah terkenal sebagai seorang pemimpin yang humble, walaupun beliau mempunyai pelbagai jawatan yang tinggi. Bahkan, dalam banyak keadaan beliau memilih untuk menaiki bas awam ketika bergerak dari satu bandar ke bandar lain dalam urusan politik dan pejabatnya. Setelah beberapa tahun bersara dari politik dan kepemimpinan Dato’ Mohd Asri masih kukuh dalam PAS, Dato’ Raja Mohd Hanifah yang sudah berusia 57 tahun telah jatuh uzur pada awal 1980 dan akhirnya meninggal dunia di Seremban pada 27 Februari 1980 ketika masih menjadi tenaga pengurusan LUTH. Beliau meninggalkan empat orang anak, termasuk Datuk Abdul Wahab Mohd Hanifah, bekas pemimpin Pergerakan Pemuda Umno Pusat dan Setiausaha Umno Negeri Sembilan. 

MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin – HARAKAHDAILY 16/8/2022

Advertisement