Mahkamah Rayuan tolak rayuan batal saman terhadap Presiden PAS

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak dengan kos rayuan perayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir yang membatalkan saman pemula terhadap Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Hakim Dato’ Vazeer Alam Mydin Meera, Dato’ Supang Lian dan Dato’ Ghazali Cha menjelaskan deklarasi yang dipohon perayu tanpa tujuan dan sia-sia.

Selain itu mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memaksa Peguam Negara dalam menjalankan budibicaranya di bawah Perlembagaan.

Malah mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan merit aduan atau dakwaan jenayah.

- Advertisement -

Lajnah Undang-udang dan Hak Asasi (LUHAM) PAS Pusat berkata, hakim juga menyifatkan perdana menteri mempunyai prerogatif mutlak untuk melantik ahli parlimen Marang atau sesiapa jua ke mana-mana jawatan di bawah bidangkuasanya.

“Kes yang dibawa perayu adalah bersifat untuk mendapatkan publisiti murahan bagi tujuan politik semata-mata,” katanya pada kenyataan hari ini.

Mahkamah Rayuan mengenepikan kos punitif berjumlah RM100,000 yang diawardkan Mahkamah Tinggi, dan menggantikannya jumlah RM10,000 bagi kedua-dua prosiding di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Pada kes tersebut Tuan Guru Abdul Hadi diwakili peguam Yusfarizal Yussoff dan Adam Lokman Amdan, manakala perayu-perayu diwakili pasukan peguam diketuai Dato’ Seri Gopal Sri Ram.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Mei 2021 membenarkan permohonan Tuan guru Abdul Hadi membatalkan saman pemula saman terhadapnya atas dakwaan menghasut pengikut agama Kristian.

Hakim membatalkan saman yang difailkan Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian selaku plaintif pertama dan kedua kerana menganggap saman itu tidak mempunyai locus standi, remeh dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Kedua-dua plaintif terbabit menyaman Hadi berhubung kenyataan yang diterbitkan Harakah pada 18 Januari 2016.

Mereka meminta pengisytiharan defendan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam pemerintahan Malaysia, termasuk jawatan yang setara dengan jawatan menteri.

“LUHAM Pusat mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada pasukan peguam yang diketuai Yusfarizal,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/8/2022

- Advertisement -