Khalid Samad tidak perlu busuk hati dengan Presiden PAS

SAYA melihat video Bicara YB Khalid Samad (Siri 160) dalam membicarakan tajuk Kes LCS – Bukti Budaya Rasuah Bertapak Bawah BN. Saya percaya dalam isu LCS ini PH cuba untuk menjadi juara sementelah PRU15 dijangka sangat hampir.

Kerana itu pimpinan PH hangat membicarakan kes LCS ini walhal kes ini juga diketengahkan PAS di dalam Dewan Rakyat menerusi Ketua Pemuda PAS Malaysia, YB Ahmad Fadhli Shaari.

Termasuklah dari ahli politik PH yang cuba menjadi hero dalam mengulas kes ini ialah YB Khalid Samad, dari PAN menerusi slot beliau dalam page Facebook sendiri. Namun sepanjang 1 jam bicara tersebut amat malang, beliau masih lagi cuba memainkan kes LCS ini menerusi dakwaan rasuah bawah BN dengan memburukkan PAS terutamanya terhadap Tan Sri Presiden PAS dengan ucapan yang biadab.

PAS sekali-kali tidak akan berkompromi terhadap rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Oleh itu kita serahkan pada pihak yang berautoriti bagi mengambil tindakan.

Saya lihat YB Khalid Samad hanya bermain sentimen tanpa ada sebarang bukti terhadap tuduhannya terhadap Tan Sri Presiden PAS. Sangat jelek dengan hati busuk beliau yang jelas berdendam dengan Tan Sri Presiden kerana Tan Sri Presiden PAS sangat tegas dalam mempertahankan prinsip perjuangan PAS dan tidak membenarkan agenda ‘matlamat menghalalkan cara’.

Malah tidak malu apabila masih sanggup mengaku bekas ahli PAS dan pimpinan pusat PAS sedangkan beliau sendiri menumpahkan ‘taat setia’ kepada parti lain, bukan kepada PAS sewaktu menjadi ahli dan kepimpinan PAS. 

Saya menyelar ucapan kurang ajarnya yang mentohmah Tan Sri Presiden dan para asatizah di dalam PAS sebagai ulamak su’. Saya kira beliau sudah hilang kewarasan berfikir sejak melanggar baiah dalam PAS dengan melarikan kerusi PAS ekoran terpesona dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan juga parti DAP. 

Jangan pula mahu menarik undi dari kelompok yang anti dengan perjuangan Islam serta geng Liberal dengan ucapan-ucapan biadab terhadap para asatizah di dalam PAS. Mentang-mentanglah PRU15 begitu hampir, jangan pula terdesak meraih undi dari kelompok tersebut. Saya berharap pengundi Muslim tidak mengundi YB Khalid Samad pada PRU15. Kini dia hanya berharap kepada undi tegar kalangan Cauvinis dan Liberal sahaja. 

Malaysia tidak memerlukan ahli politik yang hanya menghamburkan dakwaan fitnah dan kata-kata biadab. Cukuplah rakyat Malaysia terpedaya dalam PRU14. Rakyat Malaysia telah matang dan bijak dalam memilih pemimpin. Kita memerlukan suasana politik yang baharu lebih matang dan sejahtera. 

Saya mewakili Pemuda PAS Selangor menyelar sekeras-kerasnya ucapan biadab YB Khalid Samad dan mendesak beliau memohon maaf kepada Tan Sri Presiden PAS dan seluruh asatizah dalam PAS atas tohmahan yang biadab.

MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda PAS 
Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 16/8/2022

Advertisement