Kerajaan dulu lulus balak, kerajaan sekarang kena lumpur

PEMBALAKAN berterusan dijadikan isu senjata atau modal politik pihak tertentu untuk menyerang dan memburukkan reputasi pimpinan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor. 

Hakikatnya, tiada kelulusan pernah diberikan pentadbiran beliau untuk mana-mana kawasan hutan negeri ini bagi tujuan pembalakan. Sebaliknya, aktiviti pembalakan yang sedang berjalan ketika ini adalah daripada kelulusan kerajaan terdahulu. 

Malah, rakusnya mereka hingga telah mengambil kuota kawasan tebangan menjangkau untuk 18 tahun. Bermakna kelulusan kawasan pembalakan hanya akan dapat dikeluarkan semula oleh Kerajaan Negeri Kedah selepas tahun 2038.

Salah satu lokasi yang ‘panas’ berbangkitkan isu ini dan terlihat kesan ‘tragedi’ adalah dari Hutan Simpan Gunung Inas, Baling yang terdapat kawasan untuk penanaman durian jenis Musang King di situ. 

Dalam amalan umum perhutanan negara, Jabatan Perhutanan Semenanjung meluluskan kepada semua negeri kepada kawasan tebangan untuk dijadikan sebagai ladang hutan ganti.

Di sinilah puncanya

Status sama diperolehi kawasan Gunung Inas tersebut di mana mendapat kelulusan pada tahun 2007 lagi melibatkan seluas 5,000 hektar atau 12,355 ekar kepada syarikat anak negeri dan syarikat usahasama.

Sepatutnya, setelah selesai tender dan penebangan, kerja menanam semula di Gunung Inas diserah kepada Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan Negeri Kedah (KLPK) menanam spesis kayu lembut atau getah klon balak (TLC).

“Kelulusan ladang hutan ganti ini bersamaan 5 peratus daripada simpanan hutan sesebuah negeri atau bersamaan 15,000 hektar bagi seluruh negeri Kedah. Inilah kuota ladang hutan Kedah. 

“Tetapi sewaktu kita masuk (mula menjadi kerajaan), kawasan yang diluluskan itu berjumlah 22,000 hektar, (bermakna telah) 7,000 hektar melebihi kuota negeri.

“Oleh kerana ada permohonan untuk ditanam jugak spesis buah-buahan, maka Jabatan Perhutanan meluluskan 20 peratus daripada tiap-tiap kawasan yang diluluskan untuk ladang hutan ganti boleh ditanam dengan tanaman buah-buahan. 

“(Iaitu) 20 peratus daripada sesuatu kawasan yang telah diluluskan, bukan 20 peratus daripada kuota ladang hutan,” terang Muhammad Sanusi memahamkan bahawa perkara tersebut telah sedia terjadi ketika beliau menerajui kerajaan.

Arahan berhenti!

Pun begitu beritahu beliau, pihaknya tetap bertindak kerana kelulusan ladang hutan diberi kerajaan sebelum itu melibatkan kawasan sensitif seperti takungan air masyarakat dan Hutan Simpan Kekal, serta berhampiran empangan dan kampung. 

Jelas beliau, keadaan seperti itu berpotensi mendatangkan kesulitan atau kesan negatif kepada rakyat. 

Maka setakat peruntukan undang-undang yang membenarkan, Sanusi telah mengarahkan pembatalan dan menggantikan kawasan lain semasa Mesyuarat Exco di Baling seawal Julai 2020 lagi.

“Ketegasan kita kekal, tanaman Musang King hanya boleh ditanam di kawasan 20 peratus daripada kawasan kelulusan itu sahaja. Adapun kawasan yang telah lulus lebih daripada kuota itu kita lihat semula. 

“Kot mana pun, pokok-pokok (balak) asal dah tak ada, tanamlah apa saja yang boleh mendatangkan manfaat kepada negeri dan rakyat. Cuma jangan tanamkan kepalsuan untuk memungut hasil daripada  kebencian,” peringat beliau.

Peringatan tersebut beliau lontarkan kepada pihak-pihak yang ternyata semakin tidak senang duduk apabila berterusan memanjangkan sensasi dan fitnah terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau.

Latarbelakang isu

Hutan ganti telah wujud itu dijadikan oleh Almarhum Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak selepas mengambil alih kerajaan negeri dari PRU2008 menjadikannya sebagai Ladang Hutan untuk manfaat penduduk.

Bagaimanapun selepas kerajaan negeri bertukar lagi pada PRU2013, projek Ladang Rakyat itu tidak diteruskan atau dibatalkan oleh kerajaan baharu pimpinan Dato’ Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir.

Hanya 400 ekar sahaja sempat ditanam getah semasa zaman Ustaz Azizan dan penduduk miskin selaku pesertanya setelah itu tidak dipedulikan oleh kerajaan diterajui Mukhriz.

Sebaliknya, perubahan dibuat dengan memperkenalkan kawasan itu sebagai ‘ladang durian Musang King terbesar di dunia’, di mana daripada kelulusan asal 12,355 ekar, tiba-tiba telah menjadi 30,000 ekar setakat tahun 2019.

Akibat yang menimpa

“Banjir dan lumpur mengancam penduduk sekitar akibat mendapan tanah di sungai sekitar kawasan itu sejak beberapa tahun lalu. Sungai menjadi cetek dan air melimpah ke kawasan kediaman. Paling kerap pada 2019. 

“Saya difahamkan syarikat asal yang diberikan kawasan itu selepas perubahan kerajaan pada 2013 lalu telah menjual projek ladang itu mereka kepada sebuah syarikat lain. Exco Alam Sekitar Kerajaan PH pada 2019 juga turut membuat beberapa kenyataan media berhubung banjir lumpur dan Musang King di Gunung Inas.

“Pada Julai tahun 2020 sebulan selepas mengambil alih kerajaan daripada PH, sempena Mesyuarat Exco Kerajaan yang diadakan di Baling, saya mengarahkan projek tanaman durian yang didakwa menyebabkan banjir itu dihentikan. 

“Dasar kita jelas, peraturan mesti dipatuhi, pelanggaran undang-undang tidak boleh dikompromi. Kepentingan rakyat mesti didahulukan. Projek ladang hutan mesti ditanam spesis yang dibenarkan oleh Jabatan Perhutanan, dan durian tidak termasuk spesis itu!

“Walau bagaimanapun, Jabatan perhutanan membenarkan 20 peratus keluasan yang diluluskan ditanam dengan spesis buah-buahan. Pada masa itu (Julai 2020), dilaporkan 2,000 ekar sudahpun ditanam Durian Musang King,” kesal Sanusi.

Tegas beliau, arahan kerajaan jelas iaitu hentikan tanaman durian Musang King dan kembali kepada tanaman dibenarkan untuk ladang hutan ganti di tanah diluluskan. Manakala tanah sudah gondol mesti ditanam dengan tanaman tutup bumi segera untuk mengelak hakisan.

Baling menangis

Tanggal 4 Julai 2022, akibat dari mereka yang rakus mencari keuntungan pembalakan dan projek ‘ladang Musang King terbesar dunia’, kehidupan penduduk setempat dan alam sekitar yang merana.

Alam semulajadi di sekitar Kampung Iboi lokasi ditimpa tragedi itu yang suatu ketika dahulu begitu damai, tetapi beberapa tahun ini telah ternoda asyik dilanda banjir lumpur hinggalah ‘amarah’ alam akhirnya mengaum kelmarin dahulu.

Jeliknya, penyokong pembangkang menuding jari dan ada NGO juga yang enggan memberi pertimbangan adil dari musibah ini walaupun Dato’ Seri Sanusi seawal bencana lagi telah bergelumang di lokasi bencana.

Tiada satupun kenyataannya bersikap ‘lepas tangan’ atau mahu menuding kepada pihak lain, tetapi beliau sekadar menyatakan fakta-fakta dan kemungkinan dijangka terhadap kejadian malang meragut tiga nyawa itu.

Namun paling pasti terbukti, di bawah kerajaan beliau berlaku pembalakan kerana ia kelulusan diberikan oleh kerajaan sebelumnya. Tetapi, kerajaan pimpinan Sanusi sendiri tiada lagi balak untuk menjadi hasil kepada pentadbirannya.

Kerajaan dahulu meluluskan balak dan mengaut untung membalak, kerajaan sekarang pula yang dilanda lumpur.

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 7/7/2022

Advertisement