Cerita di sebalik tabir ‘ladang Musang King terbesar dunia’

- Advertisement -

ISU Ladang Durian Musang King di dalam Hutan Simpan Gunung Inas di Daerah Baling yang berbangkit atau ‘dikitar semula’ adalah lantaran kesan buruk alam sekitar diakibatkannya. 

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, penduduk kampung berhampiran menjadi mangsa banjir lumpur. Paling mendapat rungutan apabila sumber air bersih mereka juga terjejas dengan teruk.

Hakikat sebenar, musibah malang yang menimpa itu bukan baharu di mana secara khusus bibitnya telah bermula sejak hampir 15 tahun lalu dahulu. 

Bahkan, ada begitu banyak kemusykilan yang perlu rakyat tahu akan sebenar-benar ‘dalang’ penyebab kemusnahan melanda ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk.

Sejarah isu ladang durian Musang King ini perlu ‘diteroka’ semula dari tahun 2007 di mana kelulusan seluas 5,000 hektar kawasan Hutan Simpan Gunung Inas diberikan untuk tebangan. 

Ia setelah itu akan menjadi ladang hutan ganti apabila diputuskan penanaman spesis kayu lembut atau getah klon balak (TLC) di situ. 

Tetapi pada tahun 2015, kerajaan meluluskan lagi kawasan seluas 2,000 hektar, diikuti pada tahun 2017 tambahan seluas 376.63 hektar lagi atas nama pembangunan ladang hutan. 

Rupanya ada pihak-pihak yang mahukan keuntungan lebih besar dengan membawa rancangan menjadikan kawasan ladang hutan itu 100 peratus sebagai Ladang Musang King dan terbesar di dunia.

Maka, syarikat-syarikat terbabit secara usahasama anak syarikat milik kerajaan negeri telah memohon untuk melaksanakan projek mega tersebut. 

Selain di Gunung Inas itu, mereka mahukan lagi 1,526.63 hektar iaitu di Hutan Simpan Rimba Teloi dan Hutan Simpan Bukit Enggang di Daerah Sik serta Hutan Simpan Gunung Bongsu di Daerah Kulim.

Tiada kelulusan, bertentang dasar

Ada kompartmen yang telah dijalankan aktiviti pembalakan, terus ditanam pokok durian itu. Ada yang belum sempat kerana diarahkan pemberhentian kerja oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK). Ia berikutan tidak mendapat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah. 

Ada juga sebahagian kawasan kompartmen belum dijalankan aktiviti pembalakan kerana masih di peringkat kelulusan EIA dari JAS Kedah. 

Malah, ada syarikat terbabit yang menjalankan kegiatan tersebut, tetapi belum menjelaskan bayaran-bayaran utama. Syarikat ini mempunyai rekod tunggakan kepada kerajaan negeri selama lima tahun mutakhir berturut-turut. 

Namun, selain akibat dan tragedi dari usaha penanaman Musang King tersebut, isu sangat besar adalah ia bertentang dengan dasar dan polisi kerajaan. 

Kerana pokok durian tidak termasuk sebagai salah satu spesies ladang hutan. Sedangkan objektif utama penubuhan ladang hutan adalah untuk menampung bekalan kayu kayan daripada hutan asli.

Malangnya, dasar dan polisi tersebut cuba ‘dilanggar’ apabila pada awal tahun 2019 wujud ‘desakan’ untuk bersetuju supaya spesies durian dibenarkan dalam pembangunan ladang hutan. 

Namun, keputusan dicapai penghujung 2019 hanya membenarkan 20 peratus daripada keluasan kawasan diluluskan untuk penanaman spesies durian.

Campur tangan politik?

Pun demikian, ia seakan memaksa rombakan juga turut dibuat kepada ketetapan yang lain, antaranya meminta penyediaan keperluan EIA berikutan perubahan spesies dipilih itu. Juga ke atas maklumat Rancangan Pengurusan Ladang Hutan (RPLH) dari yang telah sedia ada di pihak JPNK. 

Tetapi seperti dinyatakan, penanaman spesies durian itu telahpun dijalankan sebaik aktiviti pembalakan selesai, iaitu sebelum kelulusan ini dimuktamadkan. Penanaman itu lebih awal sudah melebihi 20 peratus dari ketetapan sebelum keputusan mesyuarat. 

Maka dengan ketegasan agensi terlibat, ia terpaksa diputuskan supaya dikekalkan tetapi tanpa dibenarkan tambahan lagi. Sebaliknya baki kawasan mesti segera ditanam spesies ladang hutan.

Pun demikian, ia tetap membantutkan tujuan asal ladang hutan dalam memenuhi Dasar Perindustrian Kayu Negara 2010. 

Dari hasil hutan atau bekalan perkayuan untuk menjana pendapatan negara dan negeri, ada pula yang mahukan ia beralih kepada hasil atau bekalan buah. 

Sememangnya tindakan menanam Musang King itu menyebabkan sasaran dihasratkan bagi kepentingan negara tidak akan tercapai sepenuhnya.

Apatah lagi mahu menjadikan kawasan seluas diluluskan itu 100 peratus sebagai ladang Musang King. Setelah pula penanaman dilakukan lebih awal dan melebihi had dari kelulusan dibenarkan. 

Malah, spesies durian juga sebenarnya tidak boleh menggantikan keadaan semulajadi hutan, kerana ia tidak dapat membentuk ekosistem penting seperti kawasan tadahan air dan habitat hidupan liar.

Akibat kerakusan terdahulu

Akibat buruk dari praktik penanamannya juga akan membawa kepada risiko larian air yang meningkat apabila musim hujan. Inilah faktor kepada banjir lumpur yang telah melanda hingga ke kediaman penduduk dan menjejaskan sumber bekalan air bersih mereka. 

Belum lagi diukur kandungan Nitrogen-Ammonia yang setidak-tidaknya menjadi baja asas digunakan. Kesannya bukan sahaja kepada kualiti tanah, tetapi juga air. 

Sekali gus turut menunjukkan berlakunya kepincangan dalam amalan pengurusan hutan secara berkekalan yang sepatutnya menjadi antara pedoman menjamin kelestarian hutan di negeri ini. 

Pun demikian, Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedaya upaya menangani akibat yang terbeban atas pentadbirannya ini dan menyelamatkan penduduk dari sebarang risiko.

Sebulan selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 17 Mei 2020, arahan menghentikan aktiviti ladang Musang King telah dipertegaskan beliau. 

Oleh itu, rancangan menukar hutan kayu di negeri ini kepada ladang durian hampir mustahil terjadi di bawah pentadbirannya. Beliau sebaliknya, mengarahkan pemulihan serta menjamin kepentingan alam dan rakyat dilakukan segera.

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 6/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -