KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim mewakili kerajaan Malaysia menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Algeria ke-60.
Majlis Resepsi berkenaan turut dihadiri duta-duta besar dari Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Oman, Palestin, Yaman, Afghanistan, Russia, Tajikistan dan banyak lagi.
Manakala, Kerajaan Algeria diwakili oleh Duta Besar Republik Demokratik Rakyat Algeria, Tuan Yang Terutama Saad Maandi, bertempat di JW Marriot, Kuala Lumpur, semalam.
Ahmad Amzad berharap dengan Sambutan Hari Kebangsaan Republik Demokratik Rakyat Algeria yang ke-60 itu, rakyat Algeria akan sentiasa dilimpahi dengan kesihatan, kejayaan dan kemakmuran.
“Saya menyatakan doa dan harapan untuk kesihatan, kejayaan dan kemakmuran negara dan rakyat Algeria.
“Saya juga berkesempatan menyapa dan menyantuni duta duta besar dari Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Oman, Palestin, Yaman, Afghanistan, Russia, Tajikistan dan ramai lagi yang turut hadir meraikan,” katanya dalam satu hantaran Facebook, semalam.
Menurut Ahmad Amzad, Algeria mempunyai sejarah panjang perjuangan rakyat menentang penjajahan Perancis.
Katanya, kini majoriti Rakyat Algeria terdiri dari Arab-Berber beragama Islam, dengan 99 peratus daripadanya beragama Islam.
Untuk rekod, Hari Kebangsaan Algeria disambut pada tanggal 5 Julai setiap tahun selepas pembebasan daripada penjajahan Perancis pada tahun 1962. – HARAKAHDAILY 6/7/2022