Paris St-Germain: Christophe Galtier ganti Mauricio Pochettino

Mauricio Pochettino (kiri) hanya mengendalikan PSG selama 18 bulan dan digantikan oleh Christophe Galtier (kanan)

Christophe Galtier dinamakan sebagai Pengurus Paris St-Germain (PSG) yang baharu sejurus selepas pemergian Mauricio Pochettino.

Galtier menandatangani perjanjian dua tahun sehingga musim panas 2024. Dia meninggalkan Nice bulan lalu selepas membimbing kelab itu menduduki tempat kelima Ligue 1 dan meraih gelaran naib juara Piala Perancis, musim lalu.

Advertisement

“Saya gembira menyertai PSG dan mengucapkan terima kasih kepada Nasser Al-Khelaifi (pengerusi), Luis Campos (penasihat bola sepak) dan kelab atas keyakinan mereka terhadap saya,” katanya.

“Saya sedar sepenuhnya tentang tanggungjawab melatih pasukan luar biasa ini yang merupakan antara skuad paling kompetitif dan hebat di Eropah.”

Galtier adalah seorang daripada dua pengurus yang menghalang PSG memenangi Ligue 1 dalam dekad yang lalu. Seorang lagi ialah Leonardo Jardim yang membimbing Monaco pada musim 2016-17.

Dia meletak jawatan selepas membawa Lille meraih kejayaan gelaran yang tidak dijangka pada Mei 2021 sebelum menghabiskan 12 bulan di Nice. Sebelum itu, dia menguruskan Saint-Etienne.

Pochettino, 50, meninggalkan PSG selepas hanya 18 bulan mengendalikan dan membimbing kelab merangkul kejuaraan Perancis ke-10 yang menyamai rekod musim lalu, kejayaan liga pertamanya sebagai pengurus.

Pemergian bekas bos Tottenham itu memang dijangka, tetapi hanya diumumkan sejurus sebelum pelantikan Galtier disahkan semalam.

Mengikut kenyataan kelab: “PSG mengesahkan bahawa Mauricio Pochettino telah menamatkan peranannya di kelab.

“Kelab ingin mengucapkan terima kasih kepada Mauricio Pochettino dan kakitangannya terhadap kerja mereka dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan mereka.”

Bekas pertahanan PSG itu memastikan rekod tanpa kalah di tempat sendiri sepanjang liga musim ini, menamatkan kempen dengan 16 kemenangan dalam 19 perlawanan.

PSG merangkul semula kejuaraan, tetapi tersingkir dari peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara. Ini dilihat sebagai kegagalan besar dengan Lionel Messi bersama pasukan.

Kelab mensia-siakan pendahuluan agregat 2-0 dalam Liga Juara-Juara menentang juara, Real Madrid, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai masa depan pemain Argentina itu.

Ia adalah kali pertama Les Parisiens, yang mara ke separuh akhir pada 2021 dan menjadi finalis yang dikalahkan pada 2020, tewas dalam perlawanan di tempat lawan Liga Juara-Juara selepas mendahului pada separuh masa sejak 2001.

Pochettino dipecat oleh Spurs pada November 2019 selepas lima tahun mengendalikan kelab Liga Perdana itu, beberapa bulan selepas membawa kelab ke final Liga Juara-Juara 2019.

Selepas mengambil alih PSG pada Januari tahun lalu, mereka menduduki tempat kedua dalam Ligue 1 di belakang Lille yang dikendalikan oleh Galtier dan ditewaskan dalam separuh akhir Liga Juara-Juara tahun itu oleh Manchester City.

Bagaimanapun, PSG memenangi Coupe de France dan Trophee des Champions, yang merupakan kejuaraan pertama dalam karier pengurusan Pochettino.

Bekas pertahanan Argentina itu memulakan kerjaya pengurusannya di Espanyol dan menghabiskan 18 bulan di Southampton sebelum menyertai Tottenham pada Mei 2014. – HARAKAHDAILY 6/7/22