FOMCA saran kerajaan tumpu sektor pertanian

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga barang adalah kesan kegagalan kerajaan sejak dahulu untuk mewujudkan dasar jangka masa panjang bagi memaksimumkan pengeluaran hasil pertanian negara.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Marimuthu Nadason, berkata negara mempunyai banyak tanah pertanian yang terbiar, tetapi perancangan perlu dibuat untuk suatu tempoh yang panjang seperti sehingga 10 atau 20 tahun.

- Advertisement -

“Kerajaan perlu mewujudkan dasar pertanian untuk memperkukuhkan sekuriti makanan, terutama makanan asas di negara ini. Sekurang-kurangnya ada hasil yang kukuh walaupun tidak semua jenis makanan asas.

“Dahulu kita pernah mempunyai beras yang cukup dalam negara, tetapi tidak lagi sekarang akibat dasar negara yang terlalu memfokuskan perindustrian berbanding pertanian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Marimuthu berharap kerajaan dapat memberikan keutamaan terhadap membangunkan dasar yang melibatkan pertanian.

Selain itu, katanya kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang cukup untuk menggalakkan penyertaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam bidang pertanian.

Katanya, ini bagi mengelakkan pengusaha PKS yang kurang berkemampuan tidak mengambil jalan mudah dengan meminjam wang daripada orang tengah atau peminjam tidak berlesen apabila memerlukan dana tambahan.

Beliau juga menyarankan kerajaan mewujudkan koperasi pertanian yang dapat membantu petani, nelayan dan pekerja dalam industri itu untuk mewujudkan sistem sokongan bagi membantu mereka.

“Kerajaan juga perlu mewartakan tanah pertanian hanya untuk aktiviti pertanian seperti sesetengah negara lain dan tidak membiarkan status tanah pertanian diubah kepada tanah industri atau perumahan.

“Jangan bimbang, usaha memperkasakan pertanian tidak akan merugikan memandangkan semua orang perlu makan, bukan seperti cip mikro,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/22

- Advertisement -