Pelbagai pendekatan pastikan bekalan makanan mencukupi

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melaksanakan dasar jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi menjamin bekalan makanan negara mencukupi.

Timbalan Menterinya, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, berkata dasar jangka masa pendek ialah seperti yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, bagi menangani kekurangan bekalan ayam dengan tidak mengeksport ayam ke luar negara.

- Advertisement -

Katanya, tentu ada pemain industri ayam bertindak membekukan ayam dalam bilik sejuk, tetapi tindakan yang kerajaan lakukan bertujuan memastikan bekalan ayam negara mencukupi.

“Apabila bekalan tempatan mencukupi, Insya-Allah kerajaan akan membenarkan semula eksport ke negara lain,” katanya di sini, hari ini.

Tindakan jangka masa sederhana, katanya ialah meningkatkan bekalan ayam yang diproses dalam negara melalui pemain industri dan penternak ayam.

“Kerajaan memberi galakan kepada mereka melalui pelbagai insentif untuk meningkatkan pengeluaran ayam. Insya-Allah perkara yang dilakukan ini akan menstabilkan harga ayam,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan akan bertindak menternak ayam secara besar-besaran dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang melalui beberapa agensi kerajaan seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan FELCRA.

“Kerajaan akan keluarkan ayam dan dengan pengeluaran ayam syarikat sedia ada, Insya-Allah, bekalan makanan negara kita ini akan mencukupi.

“Apabila bekalan makanan mencukupi, harga (ayam) akan lebih stabil. Hari ini, kita tengok (harga barang) naik secara mendadak kerana kedudukan ekonomi dunia tidak stabil, peperangan antara Rusia dan Ukraine, pandemik Covid-19 dan pelbagai faktor lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/22

- Advertisement -