Sekuriti makanan bukan isu remeh-temeh

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Sekuriti makanan bagi kebanyakan orang bukan sesuatu yang memberikan kesan besar walaupun agak popular di media massa, malah diucap berulang kali oleh mereka yang berkaitan bidang pertanian seperti Menteri atau Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Frasa ini dilihat bersifat akademik atau teknikal yang kurang memberikan pengertian kepada rakyat biasa dalam kehidupan harian.

- Advertisement -

Hanya apabila berlaku keadaan rakyat berdepan bekalan makanan tidak cukup di pasaran seperti sukar mendapat tepung di pasar raya atau harga minyak masak menjadi semakin mahal, istilah sekuriti makanan menjadi lebih mudah difahami.

Situasi seperti makanan tidak cukup di pasaran adalah sebahagian aspek dalam sekuriti makanan yang mempunyai pelbagai tafsiran.

Di peringkat antarabangsa, sekuriti makanan bermaksud pertanggungjawaban semua negara bagi memastikan pasaran dan harga makanan stabil. Di peringkat negara, istilah ini bermaksud keupayaan memastikan penawaran makanan yang stabil di pasaran domestik. Di peringkat individu pula ialah kecukupan bekalan makanan bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga.

Bagi memahami sekuriti makanan, terdapat beberapa komponen penting, iaitu:

  1. Ketersediaan makanan, iaitu makanan dibekalkan secara cukup dalam pasaran domestik.
  2. Akses makanan, iaitu makanan boleh diperolehi dengan mudah.
  3. Penggunaan makanan yang lengkap dan berterusan.
  4. Kestabilan, iaitu setiap isi rumah memiliki makanan walaupun ketika berlaku sesuatu krisis.

Sekuriti makanan adalah isu yang sangat penting kepada negara dan rakyat, tetapi bagaimanakah tahap sekuriti makanan Malaysia sekarang.

Pada tahun 2020, nilai import makanan Malaysia ialah RM55.4 bilion, berbanding RM45.3 bilion pada 2015 dengan jumlah import makanan negara meningkat pada kadar purata 4.1 peratus setahun.

Dari segi pengeluaran tempatan, Malaysia hanya mampu menghasilkan 46 peratus daripada keperluan sayur-sayuran, 70 peratus beras, 61 peratus buah-buahan, 25 peratus daging lembu, 11 peratus daging kambing dan lima peratus hasil tenusu.

Dari segi penggunaan tanah untuk pertanian, ternyata sektor komoditi mendapat perhatian dengan kira-kira lima juta hektar ditanam kelapa sawit dan satu juta hektar tanaman getah. Tanaman makanan pula hanya diusahakan di sejuta hektar yang kebanyakan secara kecil-kecilan.

Dasar Sekuriti Makanan bukan sesuatu yang asing di Malaysia, malah negara sejak sebelum kemerdekaan mempunyai Dasar Padi dan Beras Negara yang terhad kepada pengeluaran beras sebagai makanan ruji rakyat.

Keadaan berubah drastik apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadi Perdana Menteri pada 1981 yang memberi keutamaan untuk membangunkan ekonomi berteknologi tinggi. Projek seperti pengeluaran kereta nasional sekadar antara contoh keutamaan kerajaan ketika itu menyebabkan sektor pertanian diabaikan pada tahun 1990-an sehingga persaraan pertama Dr Mahathir pada tahun 2003.

Mentaliti dalam koridor kuasa di Putrajaya ketika itu ialah nilai eksport komoditi jauh melebihi import makanan negara, sekali gus mengurangkan sebarang keperluan untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.

Di bawah pentadbiran penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, lebih banyak usaha dilakukan untuk menggiatkan semula sektor pertanian. Ini termasuk inisiatif bioteknologi dan koridor pembangunan ekonomi di seluruh negara yang memberi tumpuan utama kepada pertanian.

Datuk Seri Najib Razak yang berkuasa pada 2009 meneruskan aspirasi Abdullah, tetapi menggunakan strategi penyelesaian berbeza, iaitu pembangunan pertanian diterajui oleh agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Namun isu seperti kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) dengan syarikat yang mempunyai kaitan ahli politik kerajaan mendapat pinjaman mudah RM250 juta membayangi usaha kerajaan ketika itu.

Smart Sawah Berskala Besar adalah antara usaha kerajaan meningkatkan pengeluaran makanan negara

Kedudukan Malaysia di tempat ke-39 daripada 113 negara seluruh dunia dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) pada 2021, kelihatan tidak terlalu teruk dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata kedudukan negara di rantau Asia Pasifik adalah kelapan terbaik dan kedua terbaik selepas Singapura di Asia Tenggara.

Mujur Dr Ronald menyedari bahawa kedudukan itu boleh berubah dengan suasana global tidak menentu yang memberi kesan terhadap sekuriti makanan negara.

“Pengukuhan sekuriti makanan negara merupakan proses berterusan dan kita mesti terus berusaha untuk meningkatkan kedudukan kita dalam GFSI, seiring dengan hasrat Kerajaan untuk terus memperkasa sektor agromakanan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun 2022 Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Mengulas kedudukan Malaysia dalam GFSI, Dr Rais Hussin dan Dr Margarita Peredaryenko dari Emir Research, berkata antara faktor yang menyebabkan negara seperti Jepun, Singapura dan Korea Selatan menerajui GSFI di Asia Pasifik ialah ialah meningkatkan teknologi pertanian makanan dan menyediakan pakar teknologi pertanian secara besar-besaran.

Mereka berpandangan bahawa kerajaan negara berkenaan meletakkan sekuriti makanan pada tahap keutamaan paling tinggi, menerajui dasar negara ke arah mampu sara diri makanan serta pelaburan besar dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi pertanian.

“Negara berkenaan juga memberi tumpuan terhadap petani kecil dan usahawan tani teknologi tempatan melalui pembiayaan, skim insentif serta menghubungkan mereka dalam rangkaian yang luas dan saluran e-Dagang, sekali gus membolehkan petani kecil secara kolektif membawa hasil pertanian ke pasaran tempatan dan mampu bersaing dari segi harga,” kata penyelidik berkenaan.

Selain bencana alam dan wabak Covid-19, krisis serangan Rusia ke atas Ukraine memberi kesan besar terhadap rantaian bekanan makanan seluruh dunia kerana kedua-dua negara, terutama Ukraine adalah pengeluar bahan makanan seperti gandum utama dunia.

Hasil pertanian Ukraine yang dipanggil bakul roti dunia, membekalkan makanan kepada kira-kira 400 juta orang pada 2021, dengan sebahagian besar eksport melalui pelabuhan Laut Hitam, Mariupol dan Odesa, yang kini tidak boleh digunakan akibat serangan Rusia.

Setiap negara sudah tentu akan memberi keutamaan terhadap keperluan rakyat masing-masing. Ini yang menyebabkan Indonesia melarang eksport produk sawit, terutama minyak masak, manakala India menghentikan eksport gandum menyebabkan bekalan dunia berkurangan.

Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara, Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin, mengingatkan kepentingan sekuriti makanan apabila menyatakan bahawa stok bekalan makanan ruji negara pada masa ini hanya mampu bertahan untuk tempoh 45 hari.

Sehubungan itu, katanya kestabilan bekalan makanan negara berada pada tahap membimbangkan akibat kebergantungan terlalu tinggi terhadap sumber import.

Beliau mencadangkan stok penimbal makanan perlu ditambah supaya negara mampu bertahan bagi tempoh lebih panjang, manakala tumpuan pelaburan tidak hanya terhadap sektor komoditi, tetapi sektor pertanian makanan.

“Kita stabil, tetapi kestabilannya rapuh sebab kita banyak bergantung kepada import… itu yang kita bimbang,” katanya.

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengarahkan MAFI menyediakan pelan jangka panjang dan pendek bagi mengelak krisis makanan berlaku dalam negara, ini menunjukkan sekuriti makanan bukan isu remeh-temeh.

Beliau berkata, kebimbangan tidak cukup bekalan makanan merupakan isu global bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

Namun sudah sampai masa negara bukan sekadar mempunyai Dasar Sekuriti Makanan Negara, tetapi pelan tindakan penyelesaian, terutama untuk jangka panjang bukan hanya di atas kertas, tetapi dilaksanakan secara profesional dan bebas daripada impak akibat sebarang perubahan kepimpinan kerajaan.

Dasar Sekuriti Makanan Negara bukan hanya urusan MAFI, tetapi seperti Jepun, Singapura dan Korea Selatan, harus diangkat sebagai keutamaan terpenting dan menjadi agenda utama kerajaan. – HARAKAHDAILY 19/5/22

- Advertisement -