Johor wajar kekal cuti hari Jumaat, Sabtu

Demi kemudahan rakyat untuk menunaikan solat Jumaat, kerajaan Johor disaran mengekalkan cuti hujung minggu sedia ada pada hari Jumaat dan Sabtu.
- Advertisement -

Oleh ZULHAIDI MANSOR

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Johor disaran mengekalkan cuti sedia ada pada hari cuti hujung minggu yang ditetapkan sebelum ini iaitu Jumaat dan Sabtu bagi memudahkan umat Islam menunaikan Solat Jumaat.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim berkata, kerajaan Johor sewajarnya mengekalkan cuti sedia ada pada hari Jumaat dan Sabtu  bagi menghormati agama Islam yang menyarankan hari Jumaat sebagai hari menumpukan amal ibadah dan menambahkan ilmu.

- Advertisement -

Menurut beliau, cuti pada hari Jumaat diperlukan untuk umat Islam melakukan aktiviti ibadah, mengaji, mengikuti kuliah Jumaat dan menunaikan solat Jumaat dan ia dapat mengelakkan situasi kelam kabut.

Katanya, cuti pada hari Jumaat dan Sabtu tiada masalah kerana beberapa negeri lain juga telah melaksanakannya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Apabila cuti pada hari Jumaat, maka tidak perlu timbul masalah yang berkaitan dengan ibadah umat Islam yang memudahkan urusan mereka dan ia terpulang kepada mereka,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily di sini, hari ini.

Dato’ Awang Hashim

Selain itu katanya yang juga ahli Parlimen Pendang, majikan sukar memberikan cuti sekiranya pekerja ingin memohon cuti pada hari Jumaat. 

Jadi kata beliau, rakyat Johor yang bercuti pada hari Jumaat tidak perlu lagi memohon cuti bagi memudahkan urusan mereka menunaikan solat Jumaat dan ibadah lain. 

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan, Khairul Yazman Yahaya pula berkata, cuti pada hari Jumaat sudah elok kerana ia memudahkan umat Islam untuk menunaikan ibadah.

Menurutnya, ia semestinya mempermudahkan umat Islam menunaikan solat Jumaat apabila mereka cuti pada hari Jumaat dan mengelakkan mereka kelam-kabut.

Khairul Yazman Yahaya

“Saya sarankan kepada kerajaan Johor tidak terikut-ikut dengan negeri lain dan tidak mengubah cuti yang sedia ada.

“Sebelum ini, Negeri Sembilan juga pernah usahakan untuk mendapatkan cuti pada hari jumaat ini tetapi tidak berjaya,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan negeri Johor akan mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu yang ditetapkan sebelum ini pada Jumaat dan Sabtu.

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau maklum mengenai keluhan rakyat mengenai cuti hujung minggu yang berbeza antara pihak kerajaan dan swasta.

“Kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara ini supaya ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama,” katanya. – HARAKAHDAILY-24/6/2022

- Advertisement -