Kelantan: Faktor PAS menang dan kekal bertahan

- Advertisement -

NAIB Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan telah mengemukakan tiga faktor utama PAS memenangi dan terus kekal bertahan di negeri Kelantan. Faktor-faktor tersebut dikupasnya bersama pengalaman dan sejarah telah dilalui sempena Forum Sambutan Ulang Tahun 70 Tahun PAS, semalam.

Majlis Peringkat PAS Kawasan Dungun itu telah dilangsungkan di Pekarangan Surau Tuan Guru Haji Zainal. Ikuti Bahagian Pertama ini sebelum sambungan Bahagian Akhir yang akan mengemukakan kupasan beliau mengenai faktor-faktor kekalahan.

Kesedaran dan semangat agama

Rakyat negeri Kelantan kupas Dato’ Mohd Amar, memiliki kesedaran dan semangat agama yang menonjol tinggi berbanding negeri lain walaupun kalangan mereka itu tidaklah begitu baik peribadinya.

“Sembahyang pun gitu-gitulah orang kata. Tapi sokongan dia kepada Islam itu tinggi. Dan ini antara faktor besar memberikan kekuatan. Sebab itu setiap kali pilihan raya mereka beri sokongan. Sebab bagi mereka, mereka nak tengok kerajaan ini tegak atas dasar Islam,” jelasnya.

Katanya, dari aspek pembangunan, Kelantan memang ketinggalan apabila sejak PAS menang menjadi kerajaan tahun 1959, selama 18 tahun sebelum jatuh pada tahun 1978, negeri itu telah dinafikan hak oleh Kerajaan Pusat.

Kerana itu ceritanya, Kerajaan Kelantan dahulu hingga terpaksa meminjam wang daripada bank untuk membina Jambatan Sultan Yahya Petra dan mengadakan projek pembukaan tanah di Hulu Kelantan dengan kerjasama syarikat Timber Mine daripada Singapura pada waktu itu. 

Program kebajikan

Menurut beliau, menang tahun 1959 dan kalah tahun 1978 sebelum menang kembali tahun 1990 dengan terus bertahan hingga kini antaranya juga kerana faktor PAS banyak berfokus kepada aspek kebajikan dan memenuhi keperluan rakyat.

“Contohnya waktu fasa yang pertama dulu, kita menang tahun 1959, antara projek besar yang kita buat adalah rancangan kemajuan tanah. Masa itu FELDA tak ada lagi. FELCRA (pun) tak ada (lagi). 

“Kelantan negeri yang pertama pilih orang kampung ini siapa yang sanggup, beri tanah dalam hutan, pergi tebang sendiri, teroka sendiri, buka sendiri,” ujarnya mengimbas semula sejarah penting itu.

Inovasi Kelantan ketika itu katanya, hingga Presiden Bank Dunia, Robert Strange McNamara datang melawat ke negeri itu selepas projek rancangan kemajuan tanah tersebut diadakan di seluruh Kelantan.

McNamara ujar Mohd Amar, memuji usaha dan inisiatif itu sangat baik kerana memberi tanah kepada rakyat yang tidak memiliki tanah dan kemudian mengadakan pula program pembangunan tanah tersebut untuk penanaman getah dan kelapa sawit serta buah-buahan.

“Ini antara sebab rakyat ini sokong kerajaan. Dan selepas kita kalah 12 tahun, kita naik balik tahun 1990 di bawah kepimpinan YAB Tok Guru pun lagu itu juga. Kita fokus kepada aspek-aspek kebajikan walaupun kecik sumbangan kita tak besar. 

“Orang Umno pernah komen, dia kata PAS ini beri pitih ke rakyat tak banyak, tapi sampai belaka. Kalau beri RM100, (maka banyak itulah) RM100 sampai ke orang, nak oyak. Tak banyak kita beri. Tapi Umno beri banyak, hat sampai sikit,” ujarnya.

Kebajikan tanpa batasan politik

Kata Dato’ Mohd Amar, PAS Kelantan berterusan memfokuskan peningkatan aspek kebajikan tanpa mengira latar belakang sokongan parti politik pilihan rakyat termasuk golongan ‘atas pagar’ kerana ia tanggungjawab kerajaan.

Perbalahan parti politik ujarnya, hanya berlaku ketika pilihan raya, tetapi setelah itu semua adalah rakyat negeri di mana para penjawat awam dan jentera parti juga selalu diingatkan untuk tidak mengikut pendekatan kepartian, sebaliknya membantu rakyat yang memerlukan.

Beliau memberi contoh dalam aspek pendidikan, Kelantan menerusi Menteri Besar, Dato’ Asri Muda berusaha membantu mendapatkan bantuan tajaan bagi anak negeri yang ditawarkan melanjutkan pengajian ke universiti.

Imbaunya, antara usaha Dato’ Asri ketika itu adalah menemui Tun Abdul Razak Hussein memohon keistimewaan agar anak Kelantan yang 90 peratusnya adalah Melayu diberi peluang memasuki universiti.

Dengan syarat diberi memerlukan tajaan, maka Kelantan jelas Mohd Amar, telah menubuhkan Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) yang hingga kini berperanan memberi biasiswa dan pinjaman pendidikan.

YAKIN beritahunya, turut memberi biasiswa kepada anak Kelantan bukan-Melayu antaranya yang masyhur mengakui adalah bekas Menteri Pelancongan, Tan Sri Dr Ng Yen Yen dari MCA.

Kesan ramai anak Kelantan ke universiti, ucap Mohd Amar dalam forum itu, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad pernah ketika berjumpa Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz menyebut bahawa 90 peratus kakitangan pejabatnya adalah orang Kelantan.

Pemimpin dekat dengan rakyat

Faktor ketiga kupas beliau, adalah hubungan wakil rakyat selaku pemimpin terhadap orang bawah yang walaupun sentiasa sibuk mesti mencari jalan membina hubungan tanpa mengira masa dan protokol.

“Jadi kalau kita boleh jaga hat ini, insya-Allah kita boleh rakyat (dapat menangi hati). Rakyat ini bukan nak banyak sangat dengan kita, orang putih kata, ‘give them your ears’, hulur telinga saja, tak apa dah. 

“Kita bukan boleh selesai semua masalah rakyat, sebab ada masalah dia itu kita tak boleh selesai. Dia nak tambah bini ke contoh, lepas itu kita nak selesai lagu mana kan? Dia berbalah dalam rumah dia.

Tapi sekurang-kurangnya bila kita dengar, kita dengar luahan hati dia, dan kita beri sikit-sikit pandangan, insya-Allah selesai masalah. Jadi hat ini kena pakat jaga. Hambalah (sayalah), pesan dekat hamba ini, pasal hamba tok wakil (wakil rakyat) ini,” ujarnya.

Beliau turut memetik kisah Rasulullah SAW menyantuni wanita tua ketika di Madinah walaupun wanita itu tidak mengenalinya sebagai pemimpin dan juga Nabi dan beliau bersyukur melihat pemimpin PAS di Kelantan memiliki pendekatan masing-masing kepada rakyat.

“Dan antara sebab kita contohnya (tahun) 2004, kita tinggal se (satu) kerusi itu, kerana kesilapan itu. Kesilapan wakil rakyat kita pada itu, kurang cakna. Barangkali boleh jadi kerana menang lama, barangkali kadang-kadang tak berapa ingat. 

“Tapi bila kita menang se kerusi itu, barulah perbetul balik, masing-masing perbetul balik, dan kita Kelantan ini masa Tok Guru lagi dan la ni pun Tok Guru arah buat kajian prestasi setiap wakil rakyat. 

“Selepas tiga tahun ke dua tahun, kita buat kajian, report itu dihantar kepada Tok Guru. Siapa hat rendah markah dia, Tok Guru akan panggil seorang-seorang. La ni pun kita buat di Kelantan. Wakil-wakil rakyat hok mana rendah, kena panggil seorang-seorang.

“Tapi kita pun tak tahu, panggil pula senyap-senyap. Orang pernah kena panggil je tahu. Orang tak pernah kena panggil tak tahu. Dan orang kena panggil ini dia tak tahu pula siapa dia pula kena panggil, jadi masing-masing tak tahu. 

“Tapi ditegur oleh pimpinan. Menteri Besar tegur, ha ini laporan prestasi awak, ini awak buat gini tak kena, komen gapo semua suruh perbetul. Dan ini antara cara yang kita buat,” ceritanya.

Ramuan memimpin Malaysia

Menurutnya, tiga faktor tersebut dicampur menjadi ramuan kekuatan hingga mampu bertahan sehingga lebih 30 tahun dan berharap sampai bila-bila serta semoga akan datang dapat menerajui pemerintahan Malaysia.

“Jadi Kelantan kena kekal, Terengganu kena kekal, Pahang boleh ke kita, Selangor kita memerintah, Kedah duduk dengan kita, habis … Malaysia dah lah. Jadi hat itulah hamba sebut,” jelasnya memberi pemahaman.

Turut ‘dibongkar’ beliau adalah ‘rahsia’ betapa kemenangan PAS di banyak kerusi di Kelantan adalah kerana sokongan undi daripada orang Umno, namun mengingatkan seluruh jentera PAS bahawa tugas itu terpikul kepada semua, bukan hanya pemimpin.

Beliau menyeru masing-masing menjaga imej kerana ia sering membawa pelbagai persepsi dan tuduhan yang tidak benar serta amat perlu diperbetulkan.

…..bersambung Bahagian Akhir: Faktor PAS kalah di Kelantan

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY 27/5/2022

- Advertisement -
- Advertisement -