Netizen dedah aib pihak lain boleh timbul kekacauan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Netizen yang berlagak seolah-olah wartawan menyebar sesuatu berita yang mendedahkan aib pihak lain boleh menimbulkan kekacauan dalam masyarakat.

Mufti Kelantan, Dato’ Mohamad Shukri Mohamed berkata, seseorang Muslim wajib menjauhkan diri daripada menyebarkan sebarang berita negatif terutamanya menyentuh aib orang lain.

Sedangkan katanya, Islam mengariskan tiga kaedah yang wajib diikuti bagi melaksanakan sesuatu perkara iaitu niat, cara dan matlamat yang betul.

- Advertisement -

“Menimbulkan kekacauan hukumnya adalah haram. Kita mesti lihat apa tujuan. Sekiranya hendak mendedahkan tentang kemiskinan kena tengok apa tujuan sebenarnya.

“Sebarang hebahan yang boleh mengaibkan orang lain adalah salah,” katanya
kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jalinan Ukhuwah Aidilfitri Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Kompleks Islam Darulnaim, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan isterinya Puan Sri Tunku Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Mohamad Shukri juga berkata, apa yang berlaku itu menjadi cabaran pihak berwajib untuk menanganinya.

“Kita nasihat kepada masyarakat supaya menghormati pihak yang berwajib dan kalau ada apa-apa yang diviralkan tidak terus disebar dan perlu meneliti terlebih dahulu,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -