Kemelut harga ayam: Salah siapa?

- Advertisement -

SEJAK tibanya bulan Syawal, ramai rakyat Malaysia mengeluh lantaran isu harga daging ayam yang kian meningkat. Malah ada tempat-tempat di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang kehabisan bekalan ayam.

Soalannya, apa punca harga ayam meningkat? Kerajaan tidak buat kerja kah untuk mengurangkan harga ayam? Penternak ayam memang sengaja nak naikkan harga ayam ke?

- Advertisement -

Dalam kita menilai, isu ini adalah isu yang agak kompleks kerana melibatkan pengurusan di pelbagai peringkat. Adakah kita boleh cipta satu ‘win-win situation‘ antara rakyat, penternak dan kerajaan? 

Dalam masa yang tidak menentu ini, ditambah pula dengan masalah kelemahan Ringgit, kos penghantaran antarabangsa yang meningkat dan permintaan yang tinggi, harga ayam sememangnya terpaksa dinaikkan. 

Apakah puncanya? Kos harga mentah dedak ayam yang meningkat menyebabkan peningkatan kos operasi penternakan. Kebanyakan bahan utama dedak ayam diimport contohnya jagung bijirin, kacang soya dan gandum. Kebanyakan kos bahan-bahan ini meningkat sehingga 50 peratus dan ini sudah pasti membebankan ramai penternak ayam.

Selain itu, subsidi dedak yang tidak diberikan oleh kerajaan kepada penternak memaksa penternak untuk menaikkan kos ayam kerana kerugian lantaran peningkatan harga bahan mentah tidak dapat diserap. 

Keadaan ini dirumitkan lagi apabila kerajaan telah menetapkan harga siling ayam. Hal ini sangat-sangat membebankan penternak ayam sehinggakan memaksa penternak ayam hilang sumber pendapatan. Ada juga yang gulung tikar!

Jadinya apa solusinya? Solusi segera yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan adalah pemberian subsidi dedak ayam yang boleh diberikan kepada penternak. Dalam masa yang sama, mari kita lihat bahan-bahan utama dedak ayam; adakah bahan-bahan tersebut dapat kita hasilkan dalam negara? Jika jawapannya ya, rakyat Malaysia seharusnya pertimbangkan untuk mengusahakan pertanian. Semoga kemelut ini dapat diselesaikan segera.

PROFESIONAL ISTIQAMAH – HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -