Perbelanjaan ketenteraan global lepasi AS$2 trilion buat kali pertama

- Advertisement -

ANKARA: Perbelanjaan ketenteraan global mencapai paras tertinggi sepanjang masa melebihi AS$2 trilion (RM8.7 trilion) pada tahun 2021.

Menurut satu tinjauan antarabangsa oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) yang dikeluarkan pada Isnin (25 Apr), jumlah perbelanjaan ketenteraan global meningkat 0.7 peratus daripada tahun sebelumnya dan mencapai jumlah AS$2.113 trilion.

“Perbelanjaan ketenteraan global sebagai bahagian keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia, turun sebanyak 0.1 mata peratusan daripada 2.3 peratus pada 2020 kepada 2.2 peratus pada 2021,” ujar kenyataan SIPRI.

- Advertisement -

Tambah kenyataan itu, lima negara yang yang berbelanja paling banyak untuk kelengkapan ketenteraan ialah Amerika Syarikat, China, India, United Kingdom dan Rusia yang bersama-sama menyumbang sebanyak 62 peratus daripada perbelanjaan ketenteraan global.

Penyelidik dengan Program Perbelanjaan Ketenteraan dan Pengeluaran Senjata SIPRI, Alexandra Marksteiner berkata, bahawa AS lebih memfokuskan pada teknologi generasi akan datang.

“Kerajaan AS telah berulang kali menekankan keperluan untuk mengekalkan kelebihan teknologi tentera AS berbanding pesaing strategik yang lain,” ujarnya.

Sementara itu, Rusia meningkatkan perbelanjaan ketenteraannya sebanyak 2.9 peratus pada 2021 mencecah kepada AS$65.9 bilion, yang merupakan tahun pertumbuhan ketiga berturut-turut, dan perbelanjaan ketenteraannya mencapai 4.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun yang sama.

“Perbelanjaan ketenteraan Rusia sebenarnya telah merosot antara 2016 dan 2019 akibat daripada harga tenaga yang rendah digabungkan dengan sekatan sebagai tindak balas kepada pengilhakan Crimea oleh Rusia pada 2014,” kata Pengarah Program Perbelanjaan Ketenteraan dan Pengeluaran Senjata SIPRI, Lucie Beraud-Sudreau.

Sementara, perbelanjaan ketenteraan Ukraine pula meningkat sebanyak 72 peratus sejak pengilhakan Crimea pada 2014 kerana negara itu telah mengukuhkan pertahanannya terhadap Rusia. – Anadolu Agency 

- Advertisement -