Khidmat Malaysia Selangor berjaya gabungkan entiti parti dan NGO

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

PETALING JAYA: Kejayaan Khidmat Malaysia Selangor menggabungkan seluruh entiti parti dan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah satu naungan, perlu dijadikan contoh.

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, prestasi Khidmat Malaysia negeri ini amat membanggakan dan wajar diteruskan ke negeri lain.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, masih terdapat ruang untuk Khidmat Malaysia Selangor menambah baik dan memperkemaskan usaha untuk mengukuhkan hubungan dengan pelbagai pihak di peringkat NGO.

“Selain dari mengukuhkan hubungan dengan NGO sedia ada, perlu mencari ruang untuk menyebar luaskan lagi peranan Khidmat Malaysia. Contohnya, menyebarluaskan rakan strategik.

“Banyak lagi pihak luar yang bergerak dalam kerja kebajikan semasa bencana yang perlu kita sebar luaskan dan mereka ini akan menjadi rakan strategik, membantu kita ketika berlaku bencana di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Berbuka Puasa Khidmat Malaysia Selangor, di Hotel Tabung Haji Kelana Jaya, di sini, semalam.

Menurut Khairul Faizi, proses menaik taraf Khidmat Malaysia bukan hanya berlaku di Selangor, namun di semua peringkat untuk melihat perubahan-perubahan baik yang dapat dilakukan.

Bagaimanapun katanya, perkara yang lebih penting adalah masa depan Khidmat Malaysia di bawah kepimpinan baharu.

“Kita mahu melihat Khidmat Malaysia akan terus berkembang baik, sebab itu kita membuat keputusan untuk mendaftarkan sebagai NGO.

“Tidak ada sebab atau alasan untuk bersaing dengan sebarang pihak, tetapi ia adalah sebagai persediaan untuk pergi lebih jauh, dan kita buktikan melalui gerak kerja Khidmat Malaysia,” katanya.

Apatah lagi katanya, Pengerusi Khidmat Malaysia, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff sangat proaktif dalam memastikan Khidmat Malaysia berada pada satu tahap yang lebih baik.

“Apabila Khidmat Malaysia kini didaftarkan sebagai NGO, hari ini kita dapat bergerak dengan lebih mudah ke semua peringkat, kita boleh bekerjasama dengan jabatan kerajaan seperti, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Kita juga berjaya menjemput JKM, Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memberi taklimat dan mereka bersetuju untuk membantu Khidmat Malaysia menjadi sebuah organisasi yang terurus dan teratur dalam memberi bantuan ketika bencana,” katanya.

Sementara itu, Khairul Faizi turut memaklumkan Pejabat Khidmat Malaysia berkemungkinan berlokasi di Gombak atau Selayang selepas ini sebagai langkah untuk bergerak dengan lebih terbuka dengan masyarakat dan kerajaan.

Justeru katanya, Khidmat Malaysia Pusat berharap Khidmat Malaysia di semua peringkat dapat melakukan usaha sama.

“Apa yang penting Khidmat Malaysia dapat berfungsi secara teratur dan berorganisasi, sebab itu kita harapkan program untuk satukan organisasi perlu diteruskan.

“Menjadi kewajipan kepada kita untuk memastikan organisasi ini dapat ditadbir dengan terurus dan berkesan, dengan sistem fail, sistem data, dan lain-lain lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/4/2022

- Advertisement -