Kaedah wakaf dicadang untuk selamatkan tanah orang Islam

Daripada tergadai dan hilang atau bertukar pemilikan kepada pihak lain

- Advertisement -

GELUGOR: Para pemimpin Melayu-Islam daripada semua entiti diseru memberi perhatian serius terhadap pemilikan tanah umat Islam di negara ini yang berpindah tangan kepada kepentingan kapitalis.

Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata, tanpa kesedaran generasi dan peranan pemimpin khususnya politik kerajaan, akan lebih banyak tanah asal dimiliki orang Islam tergadai semudahnya.

“Kita tak tau apa nak jadi 100 tahun lagi kalau tanah orang Islam dijual beli dan asyik bertukar milik? Kena gerak kesedaran generasi, kalau tidak banyak ‘Tanah Melayu’ ini akan hilang akhirnya.

“Kena ada kesedaran untuk reserved dari sikap rakus jual tanah-tanah ini. Yang kita kesal ada pemimpin Melayu juga jadi broker kepada pemaju. Sepatutnya mereka memimpin kesedaran dan adakan polisi untuk reserved.

“Tanah ini akan sentiasa jadi rebutan. Saya selalu bincang dengan PJ (Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang), Ustaz (Muhammad) Fauzi (Yusoff), terbaiknya adalah (kaedah) wakaf,” ujar beliau ditemui di Kampung Batu Uban, di sini Rabu lalu.

Jelas beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Orang Asal PAS Pusat, polisi atau usaha wakaf ini mesti diadakan menerusi Kerajaan Persekutuan terutama dalam mempertahan dan menyelamatkan tanah asal milik orang Islam.

Tegasnya, daripada pemilikannya tergadai bertukar tangan kepada kepentingan golongan kapitalis, adalah baik diperuntukkan dana kepada institusi Islam di bawah kerajaan untuk membeli tanah yang mahu dijual tersebut.

Seterusnya kata beliau, tanah tersebut distatuskan sebagai wakaf dengan diusahakan menjadi penempatan mahupun pembangunan atau dimajukan tanah itu bagi kepentingan umat Islam sendiri.

“Pulau Pinang ini sendiri sebenarnya banyak tanah wakaf, tetapi tidak dibangunkan. Jadi orang Islam kita bila lihat tiada apa-apa, mereka keluar (berpindah terusir kerana tidak mampu memiliki kediaman).

“Kalau tanah-tanah (yang hendak dijual) ini dibeli kemudian diwakafkan, lepas tu dimajukan, dibangunkan, ini akan tarik balik orang Islam dan orang Islam boleh jadi majoriti semula di sini (dalam pulau),” ujarnya.

Menurut beliau, kaum bukan-Islam begitu bersungguh dalam menjaga pemilikan mereka terutama berkaitan aset dan tanah antaranya menerusi peranan Jawatankuasa Penyelaras Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).

Malah jelasnya, menerusi jawatankuasa tersebut misalnya di negeri ini, mereka cuba menjadikan tuntutan untuk segala peruntukan yang diberikan kepada masjid supaya turut diberikan kepada RIBI atas alasan hak saksama.

Beliau mengemukakan contoh antaranya rumah ibadat masyarakat Sikh iaitu Wadda Gurdwara Sahib di George Town yang berusia 122 tahun telah diumum akan mendapat status Warisan Kebangsaan tidak lama lagi.

Sedangkan kesalinya, permohonan seumpama untuk Kampung Batu Uban yang berusia hampir 300 tahun sebagai khazanah sejarah Islam-Melayu di negara ini tidak pernah diberi perhatian dan dilayan.

“Kami (rombongan Lajnah Tanah dan Peneroka PAS Pusat) pernah berjumpa Dato’ Seri Dr Rais Yatim (selaku Menteri berkaitan) tahun 2012 dahulu. Lepas tu dia diganti Dato’ Seri (Mohamed) Nazri (Abdul) Aziz (menerajui kementerian tersebut) juga kami pergi jumpa (tahun 2013),” maklum Iszuree.

Sejak sekian lama katanya, sudah tiga perempat tanah Kampung Batu Uban berpindah hak kepada pemaju yang turut bertukar ganti hasil peranan khianat ahli politik mengaut keuntungan ‘atas angin’.

Penduduk juga ceritanya, turut diperdaya dengan pelbagai janji termasuk oleh kerajaan diterajui DAP menawarkan unit rumah kediaman ganti, tetapi tapak pembinaan tidak diusahakan untuk kelulusan merancang.

Manakala sewa bulanan yang dijanjikan oleh pemaju kepada penduduk pula katanya, dengan nilai RM1,000 bagi sewa transit untuk setiap keluarga itu sehingga rumah ganti siap dibina, akhirnya diabaikan.

Keadaan tersebut kesali beliau, menyebabkan penduduk terusir keluar secara terhormat dari tanah kampung asal mereka itu.

Kesannya kata bekas Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang dipecat zaman Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu, penduduk tersebut hilang penempatan dan mereka telah berpindah tinggal di merata tempat lain.

Apatah lagi ujar beliau, dengan pembinaan kondominium mewah berharga melebihi RM500,000 di tanah tersebut, sudah cukup memangsakan penduduk asal untuk kembali semula memiliki kediaman di situ.

“Kawasan kediaman yang (dijanjikan) nak dibangunkan (sebagai penempatan ganti) tu tak diluluskan pelan (pembangunan). Tidak tahu muslihat atau agenda siapa, tapi kerajaan negeri dan pemaju saling tuding jari. Kemudian tanah itu dibeli pemaju lain,” ceritanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2022

- Advertisement -
- Advertisement -