PRN Johor: Kalah, menang adalah sunnatullah

- Advertisement -

IPOH: Kekalahan Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai PAS dalam PRN Johor bukan sebuah penamat kepada perjuangan, demikian kata Ketua Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria. 

Jelasnya sebagai abnaul harakah, ahli PAS yang telah melalui pelbagai peringkat tarbiyah mestilah meyakini bahawa kemenangan sebenar dalam perjuangan tidak diukur dengan banyak atau sedikit kerusi yang dimenangi. 

- Advertisement -

“(Tetapi) nilaiannya diukur sebanyak mana sumbangan kita untuk agama Allah. (Dan) apa pengorbanan yang telah kita lakukan demi meninggikan kalimah Allah. Kalah, menang, berjaya (atau) tak berjaya, dapat (kerusi) ataupun tidak semua (ini) adalah sunnatullah,” ujar beliau. 

Hal demikian terang beliau, kerana tarbiyah PAS telah mengajar ahlinya bahawa perjuangan utama adalah bersandarkan kepada empat rujukan utama yang tidak boleh lari darinya iaitu al-Quran, as-Sunnah, ijmak ulamak serta qias.

Oleh itu serunya, ahli PAS mesti terus bertekad menanam azam untuk komited menjayakan agenda utama parti dan sentiasa bersiap-siaga turun padang mendukung gerak kerja PAS sekiranya diperlukan pada bila-bila masa sahaja. 

“Semoga kita (abnaul harakah) termasuk dalam golongan yang di sebut oleh Allah di dalam Surah An-Nisa, ayat 104. Mafhum firman Allah SWT, janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). 

“Jika kamu menderita kesakitan, maka ketahuilah mereka pun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu rasakan, sedang kamu masih dapat mengharapkan dari Allah apa yang tidak dapat mereka harapkan. Allah Maha Mengetahui, Maha bijaksana,” pesannya. 

Terdahulu, pimpinan Dewan Ulamak PAS Perak tidak terkecuali untuk turut serta bersama pasukan kempen Ulamak PAS dalam PRN Johor di mana pergerakan kempen tersebut telah dilaksanakan mengikut empat fasa ditetapkan.

Antara pimpinan Ulamak PAS Perak yang terlibat dalam semua fasa berikut ialah Ustaz Ibrahim sendiri serta Penolong Setiausaha, Ustazah Ana Masthurah Ismail dan Ustaz Zahid Abu Bakar serta Pengarah Pilihan Raya, Ustaz Firdaus Mohd Hasan. – HARAKAHDAILY 16/3/2022

- Advertisement -