
TAMBUN: Fasa Peralihan Endemik yang diumumkan bermula 1 April hadapan boleh dianggap sebagai satu kejayaan negara dalam mendepani cabaran COVID-19 yang telah berlangsung selama lebih dua tahun.
Ketua Ulamak PAS Kawasan Tambun, Ustaz Rusdi Saad berkata, fasa peralihan itu bermakna membawa rakyat kembali kepada kehidupan normal setelah bersama-sama mengadakan usaha pencegahan.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh umat Islam memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah dengan kembali ke masjid dan surau yang turut dibenarkan pelaksanaan solat dengan merapatkan saf bermula 1 April itu.
“Kami dari Dewan Ulamak amat bersyukur atas pengumuman ini (yang) akan mengembalikan kita kepada norma asal (antaranya) dapat menunaikan solat berjemaah secara rapat-rapat. Hari ini Allah S.W.T telah ‘bagi’ apa yang kita sabarkan selama dua tahun. Tiada lagi penjarakan sosial ketika solat jemaah.
“(Jadi) saya seru semua muslimin muslimat, agar semua umat Islam mengimarahkan rumah-rumah Allah. Jangan biarkan saf-saf itu kosong. Kita semua akan bertanggungjawab di hadapan Allah. Kalau sebelum ini perlu (ada) jarak kita bising, ini saf sudah boleh rapat (maka) tunjukkan kesungguhan kita dalam mengimarahkanlah masjid,” pesannya.
Katanya lagi, selain perlu menunjukkan kesungguhan mengimarahkan masjid dengan solat jemaah, seluruh muslimin muslimat juga perlulah bersama-sama menghidupkan suasana ilmu dengan penganjuran pengajian di masjid.
“Mudah-mudahan Allah berkati kehidupan kita dan Allah berikan kesejahteraan khususnya kepada semua umat Islam. Berusahalah kita untuk menjadi golongan yang bertaqwa kepada Allah (kerana) kita berada di zaman fitnah akhir zaman dan banyak lagi bala bencana yang akan datang,” ujarnya lanjut. – HARAKAHDAILY 16/3/2022











