Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan berpantun menasihat Ahli Yang Berhormat supaya tidak berpolitik sepanjang masa dan sebaliknya memfokuskan menjaga kepentingan rakyat.
Dua rangkap pantun itu dibaca ketika mengakhiri titah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.
Gunung Kinabalu sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang.
Busana tradisi kain bersulam,
Warnanya jingga berawan larat,
Cukuplah berpolitik siang dan malam,
Fokuskan menjaga kepentingan rakyat.
Sebaik selesai Yang di-Pertuan Agong berpantun, Ahli Parlimen bersorak dan menepuk meja sebagai tanda menyokong mesej yang disampaikan.
Sebelum itu, Baginda bertitah: “Ahli Yang Berhormat… bagaikan rasa tidak lengkap jika beta tidak menyampaikan pantun nasihat buat Ahli Yang Berhormat sekalian. Justeru itu, sebagai meneruskan tradisi tahun lepas sebelum ini, beta mengakhiri titah ini dengan dua rangkap pantun, boleh?”
Pertanyaan Yang di-Pertuan Agong disambut dengan sorakan `boleh’ oleh Ahli Parlimen.
Ketika bertitah, Al-Sultan Abdullah, menzahirkan kesyukuran dengan kestabilan politik yang dikecapi kini menerusi kerjasama dwi-partisan melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan pembangkang.
“Alhamdulillah, landskap politik negara kini lebih stabil bagi menjayakan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat beta dan masa hadapan negara.
“Hasil kesepakatan dan kematangan ini, pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 telah berjaya diluluskan melebihi dua pertiga Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember lalu. Sesungguhnya peristiwa tersebut bakal terpahat sebagai detik bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, kematangan politik seperti itu yang didambakan oleh rakyat dan untuk melangkah ke hadapan, meminta Ahli Yang Berhormat terus mengekalkan persefahaman yang telah terbina dan memelihara kestabilan politik yang telah tercapai. – HARAKAHDAILY 28/2/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!