PPV Mega untuk dos penggalak Januari 2022

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega untuk dos penggalak vaksin Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur mulai Januari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata KKM menjangka lebih ramai akan mengambil dos penggalak berdasarkan peningkatan pengambilan dos berkenaan sebanyak 98.5 peratus dalam tempoh tiga minggu sahaja.

- Advertisement -

Pada Selasa lalu, katanya seramai 4,879,326 menerima dos penggalak, berbanding seramai 2,457,510 pada 1 Disember lalu.

“Sasaran KKM di Kuala Lumpur, iaitu di PPV Mega Axiata Arena Bukit Jalil dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) adalah kira-kira 8,000 orang sehari.

“Di Selangor pula, sasaran di PPV Mega Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam ialah seramai 6,000 orang sehari,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Dato’ Teo Eng Tee ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Melalui usaha yang giat dijalankan, katanya KKM komited untuk mencapai sasaran 5.5 juta populasi menerima dos penggalak pada akhir bulan ini.

Dr Noor Azmi berkata, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 17 November lalu, meluluskan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac dan vaksin AstraZeneca untuk digunakan sebagai dos penggalak.

Katanya, ini diikuti dengan keputusan Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) bagi dos penggalak pada 24 November lalu, meluluskan pemberian dos penggalak kepada semua individu berumur 18 tahun dan ke atas.

“Ini bermakna, pemberian dos penggalak jenis yang sama bagi penerima dos lengkap vaksin CoronaVac dan vaksin AstraZeneca boleh dilaksanakan. Ini yang menyebabkan KKM menjangka kadar penerimaan dos penggalak akan meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, KKM mengenal pasti klinik kesihatan terpilih yang akan beroperasi selepas waktu pejabat khusus untuk pemberian dos penggalak.

Menurutnya, KKM juga bekerjasama dengan pengamal perubatan swasta berdaftar di bawah ProtectHealth Corporation untuk melaksanakan aktiviti jangkau luar.

“Orang ramai juga boleh mendaftar sebagai senarai menunggu simpanan untuk menerima dos penggalak di fasiliti kesihatan awam dan swasta terpilih. Senarai fasiliti berkenaan boleh didapati di laman sesawang KKM, iaitu https://covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19 atau di laman sesawang Protect Health, iaitu https://protecthealth.com.my/.

“Dos penggalak akan diberikan jika terdapat pembatalan janji temu atau tidak hadir oleh mereka yang telah menerima janji temu dalam My Sejahtera,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/12/21

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!