Musibah banjir: Ujian menggamit yang punya hati nurani

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T

 وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ.

Mafhumnya: “Dan (pasti) Kami akan menguji kamu dengan sesuatu daripada perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, kehilangan jiwa dan (kekurangan) hasil tanaman. Khabarkan berita gembira kepada orang-orang yang sabar”. (Surah Al-Baqarah: 155)

- Advertisement -

Allah SWT Tuhan Yang Menguasai sekalian alam menjanjikan ujian yang pelbagai kepada hamba-Nya. Ada ujian dengan peperangan yang mengakibatkan ketakutan, kematian dan kehancuran. Ada ujian dengan kehilangan ahli keluarga dan seumpamanya. Malah ada ujian yang berbentuk kemewahan dan kedudukan yang tinggi. Kesemua itu berlaku dengan izin dan kehendak Allah SWT dan pastinya mengandungi hikmah di sebaliknya.

Penghujung tahun 2021 kita dikejutkan dengan musibah banjir besar yang melanda beberapa negeri. Saudara-saudara kita di Selangor, Pahang dan beberapa tempat lagi diuji oleh Allah SWT dengan banjir di luar jangka.

Kita dapat menyaksikan betapa sukar, perit dan jerihnya kehidupan saudara-saudara kita di sana. Berat mata melihat, berat lagi bahu memikul.

Suasana yang menggamit jiwa dan nurani sebagai insan, walaupun kita semua menyedari dan redha dengan ujian Allah yang begitu dahsyat. Anak-anak, orang tua, wanita-wanita dan semua pihak yang terlibat dengan ujian ini. Ya Allah kurniakanlah sebaik-baik ganjaran kepada saudara-saudara kami yang diuji ini dan berikanlah sebaik-baik gantian untuk mereka.

Justeru PAS Johor telah mengumpul dana dan menghantar sejumlah sukarelawan Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia turun bersama membantu di kawasan terjejas. Kami juga menyeru untuk sekian kalinya agar anggota Keluarga Malaysia dapat kiranya sama-sama membantu meringankan bebanan saudara-saudara kita di sana. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Semoga semangat ini akan berterusan dalam kita memperkukuhkan persaudaraan kita.

USTAZ ABDULLAH HUSIN
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
18 Jamadil Awwal 1443 / 23 Disember 2021 – HARAKAHDAILY 23/12/2021

- Advertisement -