PARIS: Perdana Menteri Perancis, Jean Castex yang lengkap dua dos vaksin disahkan positif Covid-19 dan kini sedang dikuarantin.
Sumber pejabat perdana menteri negara itu pada pada Isnin (22 Nov) berkata, Castex, 56, disahkan positif Covid-19 selepas anak perempuannya yang berusia 11 tahun disahkan positif pada petang sekembalinya beliau ke kediamannya di Paris dari Belgium selepas bertemu rakan sejawatannya di Belgium, Alexander De Croo, 46, yang kini turut dikuarantin.
Delegasi yang mengiringi Castex ke Belgium termasuklah Menteri Tentera Perancis, Florence Parly; Menteri Dalam Negeri, Gérald Darmanin; Menteri Kehakiman, Eric Dupond-Moretti, dan Setiausaha Negara untuk Eropah, Clément Beaune bersama-sama ramai lagi pegawai kerajaan Perancis yang lain, lapor AP.
Perdana menteri Perancis itu akan terus bekerja dan akan kekal dalam kuarantin selama 10 hari, tambah pejabat perdana menteri itu dalam satu kenyataan.
Kes positif Covid-19 Castex itu bertepatan dengan senario di beberapa negara Eropah ketika ini yang mengetatkan semula sekatan untuk melambatkan pertambahan jangkitan dan bilangan individu yang dimasukkan ke hospital akibat kembali dijangkiti Covid-19. Austria pada hari Isnin (22 Nov) mengenakan semula perintah berkurung di seluruh negara.
Dalam pada itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, Perancis tidak perlu mengikuti langkah sedemikian kerana peraturan pas kesihatannya yang ketat telah membantu mengawal virus itu, tetapi beliau mahu mempercepatkan penghantaran suntikan penggalak vaksin terhadap kesemua warga Perancis, lapor AFP pula.
Minggu lalu, pengawal selia kesihatan Perancis mengesyorkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 terhadap individu yang berusia lebih 40-an. Pada masa ini, suntikan penggalakan di Perancis hanya dikhaskan untuk warga negara itu yang berusia lebih 65 tahun. – HARAKAHDAILY 23/11/2021