KeTSA bakal tubuhkan Skuad Keselamatan Elektrik

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bercadang menubuhkan Skuad Keselamatan Elektrik bagi memberi kesedaran berhubung penggunaan tenaga elektrik dalam masa terdekat bagi memberi kesedaran pada anggota masyarakat.

Menterinya, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, skuad berkenaan akan berperanan bagi memberi kesedaran kepada rakyat tentang kesilapan dalam menjaga kemudahan elektrik yang  boleh membawa kepada musibah. 

- Advertisement -

Menurutnya, skuad berkenaan juga bakal mendidik masyarakat tentang penggunaan tenaga boleh baharu seperti hidroelektrik dan solar.

“Elektrik adalah satu tenaga yang perlu diuruskan dengan baik supaya ia dapat dimanfaatkan sebaiknya. Sekarang ini kita menggalakkan tenaga boleh baharu iaitu tenaga elektrik yang dijana selain daripada arang batu dan gas. Sebab itu ada hidroelektrik dan solar.

“Justeru, Skuad Keselamatan Elektrik akan memberi kesedaran kepada rakyat dan mungkin ia akan ditubuh di peringkat sekolah lagi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab, di sini, hari ini.

Tambah beliau, skuad berkenaan juga menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) beliau sebagai menteri yang menjaga kementerian berkenaan.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan beliau mengingatkan anggota masyarakat supaya tidak mengambil mudah tentang penggunaan elektrik. 

“Orang ramai diingatkan agar tidak mudah menyambung wayar elektrik sesuka hati kerana tindakan itu boleh membawa kemusnahan seperti kebakaran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/11/2021

- Advertisement -