Perkeso Kelantan bayar RM4 juta faedah SIP 2021

Nora (kiri) dan Rohani (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Nor' Aini (duduk) di Kampung Paya Bemban, Kota Bharu.

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan sudah membayar faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) berjumlah RM4 juta kepada 594 pekerja termasuk individu yang kehilangan pekerjaan di negeri itu akibat pandemik Covid-19, bagi tempoh Januari hingga September 2021.

Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, sepanjang tahun lalu pula seramai 2,848 pekerja sudah menerima faedah SIP yang bernilai RM7 juta. 

Advertisement

Bagaimanapun katanya, masih ramai individu yang culas atau enggan mencarum SIP sehingga mereka hilang arah tuju apabila diberhentikan kerja.

“Tidak dinafikan, ada juga majikan ambil mudah dan tidak membayar caruman SIP yang mula diperkenalkan pada 2017. 

“Sedangkan dengan bayaran itu, ia  boleh membantu pekerja yang kehilangan punca pendapatan, sementara mendapatkan pekerjaan baharu,” katanya selepas penyampaian cek bayaran Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) di Kampung Paya Bemban, di sini, kelmarin. 

Cek berkenaan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas, Rohani Ibrahim kepada Nor ‘Aini Zurahim yang kehilangan pekerjaan Januari lalu akibat penyakit kanser payudara tahap empat.

Nora juga berkata, antara sebab majikan tidak membayar SIP adalah kerana mereka menganggap caruman Perkeso tidak penting. 

“Sedangkan SIP amat penting terutama apabila pekerja kehilangan pekerjaan dan pengurusan hilang upaya untuk intervensi pemulihan,” ujarnya. 

Sehubungan itu menurutnya lagi, Perkeso mengadakan promosi berterusan mengenai SIP, sama ada melalui media sosial atau ceramah di pejabat. 

“Namun, pihak kami sedar mungkin disebabkan pandemik Covid-19, ada majikan menghadapi sedikit masalah atau kekangan untuk membayar caruman tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2021