
KOTA BHARU: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyokong penuh pengumuman Kerajaan Kedah tiada lagi lesen premis perjudian baharu akan dikeluarkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu mulai tahun 2022.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mohd Nor Hamzah, berkata begitu juga aktiviti penjualan minuman keras secara terbuka di semua kawasan PBT juga akan dihadkan hanya kepada orang bukan Islam sahaja.
Katanya, pengumuman itu merupakan tindakan yang proaktif bagi mempertingkatkan tahap kesejahteraan rakyat Kedah Darul Aman.
“Ini selari dengan larangan dari Allah Taala yang bermaksud ‘Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya,” katanya pada kenyataan.
Hari ini, Menteri Besar Kedah, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Noor, mengumumkan PBT di negeri itu tidak lagi mengeluarkan lesen premis judi dan mengawal jualan arak mulai tahun hadapan.
Mohd Nor berkata, dalam Tafsir Mafatih al-Ghaib, Imam Fakhruddin Ar Razi ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan maysir (judi) dan qimar (pertaruhan) adalah ia boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk mengambil harta orang lain secara batil; di samping melalaikan manusia dari mengingati Allah dan mengerjakan solat.
Oleh itu, katanya tindakan kerajaan Kedah bertegas dalam isu itu perlu disokong sepenuhnya kerana ia merupakan salah satu tindakan relevan bagi mengelakkan bahana tabiat buruk daripada terus merosakkan masyarakat.
Selain itu, katanya ia memberi kesan negatif terhadap kesihatan, kestabilan keluarga, bebanan ekonomi, jenayah serta keselamatan awam.
“DUPP berpendapat keutamaan untuk melahirkan negara berbudaya sihat dan sejahtera harus menjadi agenda utama di dalam negara kita walaupun ada pandangan lain yang berhujah bahawa hak berjudi hanya dalam kalangan rakyat bukan beragama Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/21




















