
MELAKA: Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah gagasan parti politik yang bertanggungjawab dan setiap tindakannya dilakukan dengan rakyat menjadi keutamaan.
Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional, Muhammad Hilman Idham, berkata menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memastikan kestabilan politik dicapai.
Katanya, hal ini kerana hanya melalui kestabilan politik, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dapat diberi tumpuan sepenuhnya.
“Tanpa perpaduan dan muafakat, tidak mungkin kestabilan itu akan dapat kita capai. Sepatutnya dalam keadaan hari ini, kita memerlukan lebih banyak agen perpaduan.
“Begitu juga pemimpin, (kita perlukan pemimpin) yang menjadi agen perpaduan serta menggalakkan kesatuan, muafakat daripada (pemimpin yang) menggalakkan perpecahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily, semasa membantu calon Perikatan Nasional daripada PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Muhammad Al Afiz Yahya, di Taman Bukit Katil Permai, di Bukit Katil, di sini, hari ini.
Menurutnya, Perikatan Nasional merupakan adalah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab.
Justeru itu, apa sahaja tindakan yang diambil, Perikatan Nasional akan memastikan rakyat diutamakan dan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.
“Kita berhadapan dengan pasca pandemik Covid-19, jadi sebagai kerajaan yang prihatin, bertanggungjawab, saya yakin Perikatan Nasional akan terus membingkai muafakat di kalangan pimpinan.
“Tindakan ini supaya tidak berlaku perpecahan, kemudian dapat dijana kestabilan yang akhirnya kestabilan itu kita akan limpahkan kemakmuran kepada negeri dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Kita mahu menyeru kepada semua pemimpin politik tidak kira apa parti sekalipun, supaya paling tidak menjadi agen perpaduan, dan jangan jadi agen perpecahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2021











