NGO Palestin jadi sasaran penindasan Israel

- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

Tidak cukup menggunakan senjata api dan bom, Israel menggunakan pelbagai cara untuk menekan rakyat Palestin supaya tunduk kepada keangkuhan rejim Zionis.

Bukan sahaja dibunuh, ditangkap dan didera, Israel menggunakan pelbagai taktik halus untuk menghalang kebangkitan dan penentangan rakyat Palestin.

- Advertisement -

Pada 22 Oktober lalu, Kementerian Pertahanan Israel, mengeluarkan perintah menyenaraikan enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Palestin sebagai pertubuhan pengganas .

Enam NGO berkenaan ialah Persatuan Sokongan Tahanan dan Asasi Manusia Addameer, Al-Haq, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Bisan, Pertahanan Kanak-Kanak Antarabangsa-Palestin (DCI-P), Kesatuan Jawatankuasa Kerja Pertanian (UAWC) dan Kesatuan Jawatankuasa Wanita Palestin (UPWC).

Kementerian Pertahanan Israel menggunakan peruntukan perundangan keganasan Anti Palestin 2016, mendakwa NGO berkenaan mempunyai kaitan dengan Barisan Popular Pembebasan Palestin (PFLP), sebuah parti politik berhaluan kiri yang didakwa mengancam keselamatan rakyat rejim itu.

Lebih tepat NGO berkenaan didakwa membentuk `rangkaian pertubuhan aktif bawah tanah kepada barisan antarabangsa’. Bagaimanapun, rejim Israel tidak dapat memberi sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu. Bagi rakyat Palestin, tindakan itu dilihat sebagai usaha untuk menjenayahkan komuniti awam Palestin.

NGO berkenaan memang terkenal di peringkat antarabangsa dengan kerja sosial dan kritikal terhadap hak asasi manusia Palestin.

Adameer sebagai contoh, menyediakan sokongan sosial dan undang-undang yang penting kepada tahanan politik Palestin dan keluarga mereka.

Sebuah lagi NGO, Al-Haq, sejak bertahun-tahun lalu, mendokumentasi penindasan hak asasi manusia yang dilakukan oleh rejim Israel dan mengumpul data penting hingga menerima banyak anugerah antarabangsa. UAWC pula menyokong petani Palestin menghadapi tindakan rejim Israel yang menindas dan merampas tanah mereka.

Serangan dan penindasan terhadap NGO Palestin tidak berlaku secara tiba-tiba. Ini adalah peningkatan kempen sistematik Israel yang terbaharu untuk menyekat masyarakat sivil Palestin sejak lebih tujuh dekad lalu.

Selepas penubuhan Pihak Berkuasa Palestin mengikut Perjanjian Oslo pada 1990-an, masyarakat sivil Palestin, mengambil peranan utama untuk mendedahkan dan mencabar jenayah rejim Israel. NGO sivil Palestin muncul sebagai barisan hadapan perjuangan Palestin, sekali gus meletakkan mereka sebagai musuh Israel. – HARAKAHDAILY 31/10/21

- Advertisement -