720 perwakilan Pemuda pilih ketua baharu

- Advertisement -

PORT DICKSON: Jawatankuasa Pemilih (JKP) Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menetapkan tempoh selama dua jam bagi membolehkan perwakilan mengundi bagi memilih pimpinan baharu DPPM sesi 2021-2023.

Sesi pengundian ditetapkan bermula jam 5.30 petang tadi sehingga 7.30 malam.

- Advertisement -

Wakil JKP Firdaus Ab Rahman ketika sesi taklimat sebelum pengundian bermula berkata, seramai 90 perwakilan yang berada di lokasi muktamar turut mengundi.

Katanya, jumlah perwakilan keseluruhan seramai 720 orang mengundi di seluruh negeri bagi memilih jawatan utama DPPM dan 12 Exco.

Seramai 21 calon menawarkan diri bertanding bagi jawatan Exco DPPM Malaysia sesi 2021-2023.

Tiga jawatan utama menyaksikan pertandingan dua penjuru. Jawatan ketua antara Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah, Perak, Khalil Yahaya.

Jawatan Timbalan Ketua pula antara Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Mohd Farkhan Md Zin. Manakala Naib Ketua, antara Hanafi Zulkapli dan Zuzalee Ariffin.

Firdaus juga berkata, proses mengundi secara eVote menggunakan empat laptop dimulakan perwakilan dari Negeri Sembilan dan negeri-negeri berdekatan.

“Kami berharap paling baik proses pengundi dapat diselesaikan sebelum Maghrib, itu pun jika tidak ada masalah teknikal,” katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, tidak mempertahankan jawatan selepas sepenggal menerajui sayap kanan PAS.

Malah Ketua-Ketua Pemuda sebelum itu, iaitu Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz juga hanya menerajui sepenggal jawatan tersebut.

Keputusan pertandingan jawatan tersebut dijangka diumumkan pada sesi akhir muktamar pagi esok.

Perbahasan ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia akan disambung pada jam 7.45 malam ini. – HARAKAHDAILY 30/10/21

- Advertisement -