
Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD
SEREMBAN: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh melancarkan empat buah buku hasil karya Ustaz Mokhtar Senik selepas menyampaikan ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Pusat ke-60 di Kompleks Tahfiz Darul Ulum, Senawang, hari ini.
Pelancaran buku berjudul Tasawuf Haraki Sufi – Dalam Gelanggang Perjuangan, 40 Hadis Politik, Hadis-Hadis Tasawuf Jilid 1 dan Hadis-Hadis Wanita Jilid 1 turut bersiaran langsung melalui telesidang di aplikasi Zoom Meeting.
Menurut Ustaz Mokhtar, beliau mengambil masa sebulan untuk menyiapkan setiap buku.
Berkongsi keistimewaan buku karya tulisannya, Mokhtar berkata buku Tasawuf Haraki Sufi – Dalam Gelanggang Perjuangan lebih memfokuskan khusus kepada ahli-ahli politik.

“Buku Tasawuf Haraki – Sufi Dalam Perjuangan sebenarnya buku ini kita nak fokuskan kepada ahli-ahli politik.
“Ahli politik, dia mesti bertasawuf, kalau dia nak politik jernih, baik, politik takwa, kena bertasawuf.
“Buku ini juga sebenarnya mengingatkan ahli-ahli tasawuf supaya berpolitik dan tidak terkurung dalam bilik bilik suluk supaya mereka terjun ke medan untuk berpolitik.
“Sebab kita yakin dengan dua kombinasi sifat itu, sifat sebagai seorang ahli politik dan sebagai seorang sufi dia akan jadi satu adunan yang menguatkan parti dalam jemaah.
“Begitu juga dengan Hadis-Hadis Wanita Jilid 1, ia menfokus peranan wanita dalam pembinaan akhlak, keharmonian keluarga, wanita dan politik,” ujarnya kepada Harakahdaily sebaik selesai pelancaran empat buah berkenaan.
Mengulas lanjut katanya, beliau juga sudah menyiapkan buku Hadis Tasawuf Jilid 2, Hadis Tasawuf Jilid 3 dan kini sedang pembikinan menghasilkan buku berjudul Saraf Matang Zubad dan Saraf Hikam Ibnu A’taa Illah.
Ujar Ustaz Mokhtar bukunya itu bukan untuk dijual beli semata-mata tetapi juga sesuai untuk didaurahkan.
Beliau juga tidak menjual secara terus tetapi melalui pengedar.
Sehubungan itu, bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan buku-buku berkenaan boleh menempahnya melalui akaun Facebook beliau.
Turut dilancarkan buku Mendaki Hingga Ke Puncak hasil karya Dr Hamdan Mohamad dan Ustaz Muhammad Najmuddin Ulwan. – HARAKAHDAILY 30/10/2021











