
PULAU PINANG: Kaedah pengajaran dan pembelajaran program pendidikan jarak jauh (PJJ) yang telah dikendalikan sejak sekian lama telah mengalami evolusi atau pembaharuan dari semasa ke semasa, termasuk di Malaysia iaitu melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Namun, ahli akademik, Prof Dato’ Dr Qasim Ahmad berkata, kenapa setelah memajukan institusi berkenaan selama setengah abad, PPPJJ USM sebaliknya mahu diundurkan dan tidak diteruskan atau dalam erti kata lain, ia ditamatkan?
Menurut beliau, PPPJJ, USM dicetuskan apabila USM telah mempelopori kaedah pengajaran dan pembelajaran seumpama PJJ melalui Rancangan Pengajian Luar Kampus (RPLK) di bawah Pusat Pengajian Pendidikan bermula pada 1971.
Di Barat pula katanya, sebagai contoh, University of London telah menawarkan ijazah pertama menerusi kaedah tersebut sejak tahun 1858 yang dikenali sebagai ‘correspondence courses’ iaitu berdasarkan modnya.
“Justeru, hasil dari perkembangan teknologi, PJJ kini telah berubah dengan amat ketara, selain bentuk pendidikan dan perkhidmatan yang ditawarkan institusi pendidikan juga telah dipelbagaikan,” jelasnya.
Tambahnya, satu-satunya institusi PJJ masa kini yang terkenal di dunia ialah Open University United Kingdom di Milton Keynes yang ditubuhkan pada 1969 semasa kepimpinan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Harold Wilson. Kejayaan institusi awam tersebut merupakan suatu yang ‘amat membanggakan’ Wilson.
“Sementara, di Malaysia pula, institusi PJJ terkenal ialah Open University Malaysia (OUM) ditubuhkan pada 2000. Ia merupakan sebuah institusi swasta yang dimiliki oleh konsortium universiti awam tempatan. Namun, itu tidak bermakna idea pengajian tinggi mod jarak jauh ini lambat bertapak dan berkembang di Malaysia,” jelasnya.
Katanya, dalam kes USM pula, selepas mempelopori kaedah pengajaran dan pembelajaran seumpama PJJ melalui RPLK di bawah Pusat Pengajian Pendidikan pada 1971, ia terus berkembang sebelum dinaik taraf pada 1984 menjadi Pusat Pengajian Luar Kampus (PPLK).
Pusat tersebut menurut Dr Qasim, diterajui oleh seorang pengarah dan pentadbirannya mempunyai kuasa sendiri untuk membuat keputusan berkaitan programnya. Pada 1999 ia dinaik taraf kepada Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) yang diketuai seorang Dekan,” ujarnya.
Tambah beliau, berdasarkan evolusi tersebut, PPPJJ di USM boleh dikatakan sebaya dengan Open University UK, namun perkembangannya tidak sepantas dan sehebat Open University UK.
“Bagaimanapun, mengikuti semangat Wilson, kita juga harus menganggap PPPJJ di USM sebagai suatu yang ‘amat membanggakan’ negara kerana ia telah melahirkan kira-kira 30,000 alumni yang termasuklah Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, selain para pegawai utama kerajaan, profesor, guru dan lain-lain,” katanya.

Dalam dekad pertama penubuhannya, menurut Dr Qasim lagi, program PPPJJ USM telah berjaya memanfaatkan kerjasama antarabangsa dengan pusat utama PJJ di dunia seperti yang terdapat di Deakin University dan Murdoch University di Australia dan Open Learning Institute di Kanada.
“Ia membantu penghasilan bahan pengajaran dan pembelajaran bercetak untuk kemudahan pengajar serta manfaat pelajar,” tegasnya.
Katanya, bahan pengajaran atau buku diterbitkan oleh PPPJJ, USM adalah dengan Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Utusan Publications and Distributors dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.
“Penerbitan seakan ‘open university’ ini telah memberi faedah akademik kepada pelajar jarak jauh dan pelajar sepenuh masa.
Selain menggunakan bahan bercetak, kaedah pengajaran dan pembelajaran di PJJ USM juga melibatkan penggunaan audio visual, cakera padat, telesidang audio grafik dan telesidang audio,” jelasnya lagi.
Program berkenaan, katanya, telah merintis penggunaan sistem sidang sesawang (web conferencing) yang membolehkan pensyarah mengendalikan kuliah secara interaktif dengan pelajar yang berada di 12 pusat pembelajaran di seluruh negara.
“Bukan itu sahaja, pengajaran dan pembelajaran PJJ USM juga pernah terlibat dalam siaran Pendidikan Radio Malaysia. Sejak 2003, PPPJJ USM telah mempelopori portal e-pembelajaran untuk memperluas penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Pada peringkat awal, pelajar PJJ USM disyaratkan mengikuti pengajian tahun akhir di kampus induk bersama pelajar sepenuh masa. Kaedah 3+1 yang diamalkan oleh universiti swasta tempatan pada era 1990-an sebenarnya telah dipraktikkan oleh PPPJJ USM, namun versinya sedikit berbeza,” ujarnya.
Bagi universiti swasta, tambah Dr Qasim, pelajar tahun akhir akan menamatkan pengajian di luar negara tetapi bagi pelajar PPPJJ USM, mereka tetap berada di dalam negara.
“Sebenarnya, pendidikan melalui kaedah campuran (blended learning) telah di pelopori oleh PPPJJ USM sejak dahulu. Selain itu PPPJJ USM merupakan yang terawal memperkenalkan PJJ bidang kejuruteraan sebelum adanya rangkaian Universiti Teknikal di Malaysia,” jelas beliau.
Menurutnya, PPPJJ USM sering menerima pengiktirafan daripada pihak luar kerana pelbagai pengalaman yang dilaluinya.
“Antaranya, Profesor Edgar J. Boone dari Amerika Syarikat telah menyatakan kekagumannya terhadap ciri-ciri inovatif PPPJJ USM dan menganggapnya sebagai ‘yang terbaik di Asia Tenggara’. Hal ini turut diakui oleh tokoh-tokoh akademik lain.
“Dalam nada yang sama, terdapat profesor pelawat atau pemeriksa luar sama ada dari dalam dan luar negara yang menyarankan PPPJJ USM dinaik taraf menjadi universiti,” tegas Dr Qasim lagi.
Menurut beliau lagi, pengalaman mapan, rencam dan berterusan di PPPJJ USM serta esprit de corp yang terbina dalam kalangan kakitangannya perlulah dipelihara, dimanfaat, dipertingkatkan dan dilestarikan.
“Setelah beroperasi selama 50 tahun, pusat tersebut sewajarnya bertekad untuk membuat suatu lonjakan besar ke hadapan.
“Kini adalah masa yang amat cocok dan ideal untuk melakukannya. Akibat dari penularan pandemik Covid-19, banyak universiti di seantero dunia sedang berusaha untuk mempertingkatkan atau mengimplementasikan PJJ masing-masing, biar apa pun bentuknya,” ujarnya.

Sehubungan itu Dr Qasim menampilkan beberapa fakta kenapa PPPJJ USM tidak wajar ditamatkan di negara ini.
“Dengan asas dan sistem yang sudah tersedia, PPPJJ USM mampu berkembang pesat. Harapan tersebut bagaimanapun, mestilah disandarkan kepada beberapa syarat seperti kepimpinan yang berdedikasi dan komited, sedikit imaginasi, pelaburan yang berpadanan serta kesediaan menerokai sempadan pendidikan di luar negara, khususnya ASEAN.
“Demi mengorak langkah ke arah memperkasakan PPJJJ, ada baiknya sebuah jawatankuasa di peringkat nasional ditubuhkan bagi mengemukakan idea, rancangan serta pelan tindakan yang relevan lagi dinamis. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan PPPJJ sudah boleh dikategorikan sebagai satu aset nasional,” jelasnya.
Tambah beliau, kedudukan dan sumbangan PPJJJ USM adalah unik. Ia tidak terlalu bergantung kepada sumbangan yuran para pelajarnya lantas ia tidak pernah terpanggil untuk terlalu bermurah hati meluluskan para pelajar atau pelanggannya.
“Pada masa yang sama, ia tidaklah seliberal Massive Open Online Courses (MOOCs) dalam dasar pengambilan pelajarnya hingga terpaksa menanggung kadar keciciran pelajar yang amat tinggi.
“Rata-rata pelajar PPJJJ USM tidak terbeban dengan jumlah hutang pendidikan yang tinggi atau menghadapi gejala siswazah menganggur. Sebilangan besar pelajarnya terdiri dari warganegara yang sudahpun mempunyai pekerjaan,” ujarnya.
Tambah Dr Qasim, seandainya operasi PPPJJ dilunturkan, maka program seumpama itu di negara ini akan diungguli oleh institusi swasta.
“Pelunturan ini tidak dapat tidak akan berlaku sekiranya PPPJJ USM dikembalikan ke pangkal jalan, jika ia distruktur semula melalui konsep desentralisasi di bawah Pusat Pengajian tertentu di USM. Hal ini pastinya akan melupuskan autonomi Majlis PPPJJ USM bersabit bidang kuasanya untuk membuat keputusan berkaitan program dan kegiatan akademiknya.
“Nasib sebuah aset nasional seperti PPPJJ USM, yang telah begitu banyak menabur bakti, tidak seharusnya ditentukan hanya dengan pelaksanaan suatu dasar dan tindakan pentadbiran yang mudah dan ringkas. Bak pepatah bahasa Inggeris, ‘Surely more is at stake’,” katanya.
— BERNAMA




















