PAS sedia ambil semula P.088 Temerloh daripada PAN

Senator Ir Ts Khairil Nizam sempurnakan persediaan jentera pilihan raya PAS Temerloh

- Advertisement -

TEMERLOH: Pemilihan kepimpinan PAS Kawasan Temerloh sesi 2021-2023 menyaksikan tiga jawatan utama iaitu Yang Dipertua, Timbalan dan Naib Yang Dipertua kekal disandang oleh Md Jusoh Darus dan Hassanudin Salim serta Hasan Omar.

Manakala para perwakilan telah memilih Ahli Jawatankuasa Kerja dengan menggabungkan tenaga lama berpengalaman dan tenaga baharu yang bersemangat sebagai satu pasukan.

- Advertisement -

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Temerloh Kali Ke-34 telah berlangsung dengan penuh semangat untuk menghadapi PRU15 pada majlis di Maahad Tahfiz Al Furqan, Batu 4 Jalan Maran, Paya Pulai, di sini baru-baru ini.

Menariknya, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang kini menetap di Temerloh, menjadi antara calon mendapat undi tertinggi jawatankuasa walaupun pertama kali dicalonkan. 

Dapatan undi tertinggi yang diperolehi Khairil Nizam itu disifatkan Md Jusoh sebagai isyarat terbaik untuk Senator muda tersebut terus menaburkan khidmat bakti kepada parti dan penduduk Temerloh khususnya.

Hassanudin yang juga Setiausaha PAS Negeri Pahang pula sangat positif dengan pemilihan kali ini kerana ia menunjukkan kehendak akar umbi agar PAS Temerloh lebih bersedia untuk memenangi kembali kerusi P.088 Temerloh daripada PAN.

“Sebagai Ketua Pemuda yang juga Ahli Dewan Negara, sudah tentu komitmen dan pengalaman beliau (Khairil Nizam) akan digunakan sepenuhnya untuk parti dan negara terutama melibatkan keperluan dan kebajikan penduduk di Temerloh,” katanya.

Manakala Hasan selaku Pengarah Pilihan Raya Parlimen Temerloh, menyifatkan kemenangan Khairil sebagai penyempurnaan kepada segala persiapan jentera pilihan raya yang telah lama digerakkan bermula selepas PRU14 lagi.

“PAS Kawasan Temerloh telah bersedia dari segi jentera, kewangan dan senarai bakal calon, hanya menunggu keputusan dan arahan kepimpinan tertinggi sahaja,” ujarnya.

Sebagai rekod, PAS Temerloh pernah mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan menyerahkan satu memorandum khas berkaitan kesediaan PAS Temerloh menghadapi PRU15.

Ir Ts Khairil pula ketika diminta mengulas berkata, keputusan ini memberikan satu motivasi dan kesedaran kepada dirinya bahawa masih banyak peranan dan tugasan yang perlu dirancang dengan teliti dan laksanakan mengikut kesesuaian semua lapisan masyarakat.

Sebelum itu, pihak Jawatankuasa Pemilih terpaksa meneruskan pengundian tanpa melayan sebarang penolakan atau penarikan diri kerana jumlah calon yang menerima percalonan kurang daripada jumlah sepatutnya. – HARAKAHDAILY 21/10/2021

- Advertisement -