MAT Kuantan pacu persediaan ke arah PRU15

- Advertisement -

KUANTAN: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Kuantan Kali Ke-33 telah berlangsung dengan jayanya melibatkan kehadiran 171 perwakilan daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Kawasan, Dewan-dewan dan 16 PAS Cawangan-cawangan.

Yang Dipertua PAS Kuantan, Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam ucapannya mengingatkan bahawa mesyuarat adalah medan yang sangat penting dalam meluruskan perjalanan parti bersesuaian dengan dasar PAS iaitu al-Quran, Hadis, Ijma’ dan Qias.

- Advertisement -

“Kerana itu para anggota parti mesti hadir apabila dipanggil untuk bermesyuarat dan memberikan pandangan dan menegur agar PAS sentiasa berada dilandasan yang betul sama ada dari susut dasar perjuangan dan juga gerak kerja yang lebih berkesan.

“Di samping itu juga kita juga mestilah melihat dari sudut sahsiah kepimpinan itu sendiri kerana pemimpin itu adalah pemandu yang bukan sahaja bertanggungjawab untuk memandu kita ke matlamat sebenar.

“Tetapi ia juga bertanggungjawab untuk memastikan PAS dilihat sebagai sebuah parti yang memiliki izzah, bertanggungjawab dan amanah,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang di Dewan Permata Camar, di sini baru-baru ini.

Dalam pemilihan kepimpinan yang dilaksanakan secara e-Undi menyaksikan pengisytiharan kepimpinan baharu sesi 2021-2023 kekal Ustaz Rosli sebagai Yang Dipertua, manakala Timbalan muka baru, Wan Razali Wan Nor.

Jawatan Naib Yang Dipertua juga kekal kepada Ustaz Noorzazila Fadhli Ibrahim dan 16 Ahli Jawatankuasa dipilih, selain mesyuarat telah menerima dua usul iaitu tanpa bahas dan dengan bahas. 

Usul pertama tanpa bahas menggesa dan mencadangkan PAS Pusat membuat percaturan dan strategi politik pilihan raya khas untuk PRU15 dan usul kedua memutuskan agar Sidang DUN Pahang komited isu sifar pusat judi, kelab malam dan cabutan judi.

Dalam ucapan penangguhan hampir semua wakil PAS Cawangan mencadangkan agar pihak kepimpinan baharu dapat diperkasa pengurusan organisasinya dan dapat menjalankan amanah dengan penuh dedikasi.

Pimpinan juga diharap terus istiqamah turun ke Cawangan-cawangan dan memperkasakan organisasi parti agar tiada lagi Cawangan yang lemah, selain mempergiatkan usaha menarik pengundi muda.

Di samping itu, perwakilan mengharapkan semua jentera parti di Cawangan-cawangan memberi sebulat kerjasama dan ketaatan dengan kepimpinan baharu agar parti terus gagah melangkah ke arah kemenangan.

Ustaz Rosli dalam ucapan penggulungannya untuk sesi mesyuarat kali ini telah mengingatkan anak-anak muda agar berperanan seiring dengan pertambahan pengundi 18 tahun sebanyak lebih 11,000 sebagai satu cabaran.

“Setiap kita kena fikirkan sesuatu yang luar biasa untuk mendapatkan hasil kemenangan yang luar biasa dan sentiasa menyandarkan harapan dan pertolongan kepada Allah S.W.T disamping meningkatkan Iman dan amal soleh,” ujar beliau.

PAS Kuantan juga tidak melupakan ahli yang terkesan dengan musibah di mana sumbangan sebanyak RM20,000 telah di sampaikan kepada mangsa tragedi kebakaran rumah di Kampung Tengah baru-baru ini.

Sumbangan ini hasil pelancaran derma kilat kebakaran yang dikelola oleh Jabatan Amal Malaysia Kuantan dan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kuantan. – HARAKAHDAILY 20/10/2021

- Advertisement -