Arak: Apa jua jenama, logo tetap haram di sisi Islam

KUALA LUMPUR: PAS menolak dakwaan mempunyai hubung kait dengan pengeluaran arak jenama tempatan iaitu Timah yang tular di media sosial baru-baru ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tuduhan tersebut hanyalah sebagai ‘alat’ untuk mencalarkan nama baik PAS.

Katanya, ia jelas bercanggah prinsip asas perjuangan PAS, menentang sebarang perbuatan mungkar.

Advertisement

“Soal jenama dan logo yang boleh mengelirukan, PAS konsisten meminta ia disemak kembali. Nama Timah, bukan nama Islam dan bukan nama manusia.

“Ia seumpama nama jenis logam, dan lebih jelas pula apabila logo arak itu gambar seorang lelaki. Tiada lelaki nama Timah,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily di sini, hari ini.

Baru-baru ini Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary menafikan kerajaan mempunyai hubung kait dengan pengeluaran arak jenama Timah.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, apa jua jenama arak dan logo tidak akan mengubah nilai arak, kerana arak tetap haram di sisi Islam.

“Bahkan dalam Hadis Rasulullah saw Baginda menjelaskan antara tanda akhir zaman, arak tidak lagi berjenama arak yang diketahui umum.

“Sebenarnya ia bukanlah isu besar melainkan ia hanya tak ada modal lain hendak serang PAS,” ujarnya.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, PAS konsisten meminta kerajaan menyemak semula penggunaan jenama serta logo minuman keras tersebut yang mengelirukan masyarakat.

Sehubungan itu kata beliau PAS menentang perbuatan mungkar yang merupakan tanggungjawab semua pihak untuk mendidik masyarakat bertamadun.

Katanya menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk menentang kemungkaran, bukan hanya tanggungjawab PAS sahaja.

“Adalah lebih baik kita didik masyarakat Islam menjauhi arak walau apa jenama sekalipun, tetapi hak dan kehendak bukan Islam untuk meminumnya juga perlu dilihat,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 19/10/2021