
Oleh MUHAMMAD NUR RELDWAN
SANDAKAN: Mesyuarat Agung Tahunan PAS Libaran adalah medan untuk bermuhasabah dengan gerak kerja yang telah dilakukan sepanjang tahun ini.
Yang Dipertua PAS Libaran, Abdul Waheed Mohamad berkata, sepanjang bergerak kerja dalam jemaah, setiap ahli mestilah mempunyai sifat sabar dan ikhlas serta memperbanyakkan amalan rohani bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Ahli PAS mestilah memposisikan diri untuk melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh jemaah untuk melihat hasil perjuangan Islam ini,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan ke-16, Ahad lalu.
Mesyuarat kali ini yang dilaksanakan secara hibrid selaras dengan saranan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sabah bagi mengekang penularan Covid-19.
Dalam mesyuarat tersebut, para perwakilan sebulat suara bersetuju menyokong usul yang dibawa oleh seorang perwakilan, Herryanto Ladati iaitu PAS Sabah mesti meletakkan calon bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ke-15.
“PAS Sabah mestilah menetapkan pendirian dan membuat perbincangan dengan rakan politik semasa iaitu GRS bagi menampilkan calon mewakili parti ini,” hujahnya lagi.
Menyokong usul itu, Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan, Kamsaa Osman berkata masyarakat Sabah telah melihat hasil kerja parti itu melalui ADUN Sabah (Lantikan), Dr. Aliakbar Gulasan serta PAS kawasan seluruh negeri.
Dalam pemilihan ahli jawatankuasa kali ini, secara syura memutuskan untuk mengekalkan Abdul Waheed Mohamad, Zulkifli Mohamad dan Nasruddin Lahapin sebagai Yang Dipertua, timbalan dan naib PAS kawasan bagi sesi 2021-2023. – HARAKAHDAILY 19/10/2021











