Dasar Pendidikan Tahfiz Negara perkasakan institusi tahfiz

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) diteruskan menerusi penyediaan Pelan Tindakan DPTN 2.0 dengan kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN), agensi kerajaan berkenaan dan persatuan tahfiz.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, berkata pelaksanaan pelan itu akan dipantau oleh Jawatankuasa Pelaksana DPTN.

- Advertisement -

Secara berkala, katanya perkembangan pelan itu juga dilaporkan dalam Persidangan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI).

“DPTN memfokuskan lima teras utama, iaitu pemantapan dan penguatkuasaan undang-undang melalui pemantauan PBAN terhadap enakmen dan peraturan yang berkuat kuasa di negeri.

“Selain itu, pelan itu mewujudkan model institusi tahfiz yang dapat dilihat pada Darul Quran, Maahad Tahfiz Kerajaan Negeri dan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi hal ehwal agama di Dewan Rakyat, hari ini.

Idris berkata, DTPN juga mewujudkan kurikulum pendidikan tahfiz yang sesuai dengan pendidikan arus perdana selain menggalakkan institusi tahfiz swasta melaksanakan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT), Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) atau persijilan TVET bagi memastikan pelajar tahfiz dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, dasar itu juga memperkasa tadbir urus institusi tahfiz dengan menyarankan institusi tahfiz swasta menyediakan program meningkatkan kemahiran pengurusan dan pedagogi di kalangan guru tahfiz dan pengurus tahfiz.

“JAKIM dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institut Aminuddin Baki (IAB) telah mengorak langkah melaksanakan latihan kepada kumpulan sasar berkenaan.

“Seterusnya, mewujudkan sistem pengiktirafan dan pensijilan bagi institusi tahfiz dengan mewujudkan Jawatankuasa Akreditasi Tahfiz (JAT) di bawah LEPAI yang sedang membangunkan standard pengiktirafan institusi dan huffaz yang akan menjadi panduan dalam proses pengiktirafan tersebut.

Untuk rekod, DPTN merupakan usaha penyelarasan pengurusan pendidikan tahfiz dengan mengambil kira Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peraturan di negeri dalam Malaysia.

Kerajaan memperkenalkan DPTN untuk dijadikan garis panduan dalam pengurusan pendidikan tahfiz di Malaysia.

DPTN telah dipersetujui secara dasar dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-61 pada 28 Jun 2016 dan mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Rja kali ke-247 pada 11 Oktober 2017. – HARAKAHDAILY 7/10/21

- Advertisement -