
Oleh KAIROL ZULHAIDI
KUALA LUMPUR: PAS, Umno dan Bersatu digesa meletakkan kepentingan umat Islam di tempat paling atas dengan mengetepikan ego masing-masing dan jangan berpecah belah.
Bendahari PAS Pusat, Dato’ Ir Iskandar Abdul Samad berkata, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 sepatutnya menginsafkan umat Islam apabila mereka berpecah seperti bertanding tiga penjuru.
Ini katanya, terbukti apabila undi orang Islam berpecah dan menyebabkan pihak lain yang menang.
“Saya lihat Umno seperti lupa pengalaman pahit pada 2018. Umno hari ini bukan seperti Umno pada tahun 1960-an,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily di sini, hari ini.
Tambah beliau, orang Melayu sekarang mempunyai banyak pilihan parti politik seperti PAS, Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, orang Melayu nampak masalah yang dibawa Umno serta isu-isu yang membelenggu sesetengah pemimpin mereka.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, perpaduan umat Islam adalah perintah Allah S.W.T berdasarkan firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imraan (103) yang bermaksud “Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.”
Menurutnya, perpaduan umat Islam adalah tanggungjawab semua orang yang beriman bagi memastikan keselamatan umat manusia dan segala aspek kehidupan.

“Usah berdegil dan syok sendiri. Kepimpinan umat bukannya perkara main-main. Sudah banyak peristiwa berlaku dalam negara kita yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua.
“Kita hendaklah berpijak di bumi yang nyata serta belajarlah daripada segala pengalaman dan sejarah,” ujarnya.
Menurut Pengerusi Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS, Ustaz Dr. Riduan Mohamad Nor pula, Umno harus belajar daripada kekalahan mereka pada pilihan raya yang lalu.
“Bayangkan di Terengganu Umno kalah kerana bertembung tiga penjuru dengan PAS dan PH. Begitu juga dengan negeri-negeri yang agak rencam seperti Perak, Johor dan Negeri Sembilan,” ujarnya.
Katanya, kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam tujuh pilihan raya kecil (PRK) bukan kerana kekuatan Umno tetapi didukung oleh kekuatan PAS, organisasi masyarakat sivil (CSO) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan Melayu Islam.

Tambahnya, PAS sebagai pendamai ingin melihat pimpinan Melayu Islam sebagai teras kekuatan negara dan mengelakkan pertandingan melibatkan dua, tiga atau empat penjuru.
“Mana-mana parti politik yang ingin menjadi dominan atau ‘Abang Long’ dalam permuafakatan perlu akur bahawa politik kini telah berubah,” ujarnya.
Katanya, anak-anak muda yang merupakan pengundi yang paling ramai dalam pilihan raya akan datang terputus daripada sejarah sebenarnya.
Menurutnya lagi, parti-parti lama akan mengalami penolakan oleh pengundi-pengundi muda contohnya, Liberal Democratic Party (LDP) di Jepun dan Parti Golongan Karya (Golkar) di Indonesia kerana bagasi sejarah, kroni, rasuah dan mengamalkan nepotisme.
Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merungkai pelbagai persoalan yang timbul terhadap kewujudan Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS sejak kedua-dua parti memeterai piagam pada 2019.
Beliau juga menjelaskan Perhimpunan Agung UMNO 2020 membuat ketetapan bahawa tiada kerjasama dengan Bersatu pada PRU15. – HARAKAHDAILY 7/10/2021




















