Pendapatan negara mesti ambil kira soal halal, haram

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Sebarang bentuk perjudian, sama ada besar atau kecil atau dilakukan secara kerap atau jarang-jarang tetap haram.

Ini jelas disebut dalam al-Quran, iaitu surah Al-Baqarah (219), An-Nisa’ (29) dan Al-Maidah (90), apabila Allah SWT berfirman mengharamkan judi.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Johor, Rusman Kemin, berkata perlakuan judi bukan sahaja diharamkan dalam Islam, bahkan dalam agama lain.

“Kami mengingatkan kerajaan, terutama Kementerian Kewangan supaya lebih sensitif berhubung hasil pendapatan negara, ia mesti mengambil kira soal halal dan haram.

“Setiap kegiatan ekonomi dan pendapatan negara mesti meletakkan nilai keberkatan dan redha Allah SWT di hadapan melebihi keuntungan dunia semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika menjawab soalan bertulis di Parlimen memberitahu kerajaan meluluskan judi cabutan khas 22 kali setahun.

Rusman berkata, PAS Johor bersependapat dengan pimpinan PAS lain yang tidak bersetuju dengan perkara penambahan slot judi khas tersebut. – HARAKAHDAILY 26/9/21

- Advertisement -