Kenapa perlu sedar mengenai pendanaan asing?

- Advertisement -

KENAPA hari ini kita perlu membincangkan mengenai pendanaan asing? Walaupun satu ketika dahulu isu ini pernah dimainkan atas sentimen politik, tetapi rasanya hari ini ia perlu diteliti atas neraca kesedaran. Ini kerana, isu ini boleh terheret kepada bentuk penjajahan era baru yang mesti disedari.

Syarif Hussein vs Bani Sa’ud


Antara sejarah yang mesti kita jadikan pengajaran ialah peperangan sesama umat Islam yang terjadi antara Bani Sa’ud dan Syarif Hussein. Hasil Perjanjian Sykes-Picot dan Deklarasi Balfour membentuk satu perancangan untuk menguasai Dunia Arab.

British berpakat dengan Syarif Hussein untuk menjatuhkan Khalifah Uthmaniah dengan menawarkan jawatan sebagai khalifah, dan ‘dihadiahkan’ bumi Hijaz. Selepas jatuhnya khilafah, Syarif Hussein menuntut bumi Hijaz daripada British sepertimana yang dijanjikan sebelum itu.

Dalam masa yang sama, British berpakat pula dengan Bani Sa’ud yang beraliran Salaf, kononnya untuk mencegah kemungkaran yang sedang berlegar di bumi Hijaz. Bani Sa’ud diatur untuk bertembung dengan Syarif Hussein yang turut sama ingin mendapatkan bumi Hijaz itu.

British menyumbang kelengkapan perang kepada kedua-dua belah pihak. Sumbangan yang banyak diberikan kepada Bani Saud bagi menggambarkan sokongan British terhadap usaha Bani Sa’ud. Manakala British turut menyumbang kelengkapan perang kepada Syarif Hussein. 

Sumbangan kepada Bani Sa’ud jauh lebih banyak, kerana British mencatur supaya Syarif Hussein kalah di Hijaz. Lantas, tercetuslah perang antara kedua-duanya, dan menyaksikan kemenangan Bani Sa’ud sepertimana yang dicaturkan oleh British. Hasilnya, bumi Hijaz diberikan kepada Bani Sa’ud. Manakala Syarif Hussein diberikan tanah di Jordan.

Syarif Hussein ‘masih’ berterima kasih kepada British kerana walaupun tak dapat Hijaz, tapi masih dapat Jordan. Manakala Bani Saud lebih berterima kasih kepada British kerana membantu mereka menang di Hijaz. Sebagai tanda terima kasih, British dibenarkan untuk menggali petroleum di Hijaz, dan mengaut kekayaan bumi itu. 

- Advertisement -

Proksi luar

Gambaran yang saya berikan tadi sebagai mukadimah untuk memahami erti dan realiti sebenar ‘proksi’. Gambaran mudah proksi ini juga boleh difahami dengan sejarah Perang Korea yang terjadi pada 1950-1953. Perang sengit ini memakan korban jutaan nyawa orang Korea.

Tulisan lama saya mengenai Perang Korea:

https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1316135931913210/?d=n

Secara ringkasnya, Korea Utara berperang dengan Korea Selatan kerana pengaruh Perang Dingin, antara Amerika yang merupakan Bapa Liberal Kapitalis, dengan Soviet yang merupakan Bapa Sosialis Komunis. Amerika berada di belakang Korea Selatan, manakala Soviet di belakang Korea Utara.

Mangsanya siapa kalau bukan orang Korea juga. Bangsa yang sama, tutur bahasa yang sama, makan menu yang sama, tapi berperang sesama sendiri hanya kerana dipengaruhi oleh dua blok kuasa yang sedang bertarung. Siapa yang untung, dan siapa yang rugi itu bolehlah fikirkan masak-masak.

Inilah yang dapat saya gambarkan dengan ‘proksi’. Sebenarnya, banyak lagi contoh-contoh yang lebih sadis untuk diceritakan. Perang Sudan sehingga terpecah Sudan Utara dan Selatan, Arab Spring 2011, Perang Libya pasca Arab Spring dan lain-lain. Bergaduh sesama sendiri, tetapi yang untungnya Barat.

Oligarki

Kita semua sedar, bahawa Malaysia hari ini dikenali dengan pengamalan sistem demokrasi berparlimen. Namun, di sebalik sistem ini, tumbuhnya sistem-sistem baru yang hakikatnya merosakkan nilai sebenar erti demokrasi itu. Antara elemen baru (sebenarnya tidaklah baru sangat) itu ialah Oligarki. 

Tulisan saya sebelum ini mengenai Oligarki; 

https://www.facebook.com/100051781123067/posts/336308438105191/?d=n

Tulisan kali ini, saya lebih menjurus kepada pendanaan asing, yang merosakkan nilai-nilai demokrasi. Bahkan ia mudah terserap melalui bentuk Oligarki.

Dalam suasana demokrasi, semua orang tahu, tujuan kita berpilihanraya adalah untuk melantik pimpinan yang boleh cakna dengan kebajikan rakyat. Kita mengharapkan YB kita boleh ‘repair’ jalan depan rumah, dan boleh suarakan hak kita ke dalam DUN atau Parlimen.

Namun, disebabkan wujudnya elemen Oligarki, tujuan kita melantik pimpinan itu hancur dan tersia-sia begitu sahaja. Ini kerana, YB tersebut hanya sekadar menabur janji manis, sembang gajah terbang dan sebagainya semata-mata untuk mengenyangkan perut taukenya sahaja. 

Kenapa YB yang kita lantik itu lebih berhasrat mengenyangkan taukenya? Ini kerana taukenya itulah yang menaja pelbagai projek untuk YB itu untuk menang dalam pilihan raya. Bahkan, apabila menang pilihan raya, dia mempunyai peluang yang lebih besar untuk mengaut kekayaan demi kekayaan.

Justeru, kita boleh anggap YB itu hanya sekadar proksi kepada taukenya itu. Inilah gambaran umum terhadap sistem Oligarki yang terserap dalam sistem demokrasi hari ini. Ini bermaksud, undi yang kita berikan itu boleh tersia-sia begitu sahaja. Yang untung hanyalah tauke, yang terus merana adalah rakyat.

Cuba bayangkan sekiranya tauke itu adalah Amerika. Mereka mendanai proksi-proksi tertentu, untuk kepentingan mereka? Inilah yang cuba dihuraikan dalam tulisan ini. Bukan sekadar itu kestabilan politik, tapi lebih kepada ‘percaturan politik’ yang perlu disedari oleh rakyat Malaysia.

Pendanaan asing

Apabila kita sebut mengenai Oligarki dan proksi, kita akan dapati bahawa ia sangat berkait rapat dengan pendanaan asing. Buku yang bertajuk Bantuan Demokrasi dan Pendanaan Asing di Malaysia, Melewati Pertukaran Rejimkarangan Muhamad Takiyuddin Ismail menghuraikan panjang lebar mengenai perkara ini secara akademik.

Secara umumnya, kita perlu sedar bahawa usaha pendanaan ini dilakukan oleh kuasa-kuasa besar, terutamanya Amerika. Sejak penubuhan NED, NDI, IRI dan banyak lagi pertubuhan pada zaman Ronald Reagen sebagai Presiden Amerika mula merancakkan lagi agenda ini 

Zaman penubuhan pertubuhan-pertubuhan ini di kemuncak pertarungan dengan Soviet, iaitu pada awal 80-an. Badan-badan ini antaranya berfungsi untuk memasarkan demokrasi cara Amerika. Ini kerana, Amerika beranggapan bahawa demokrasi adalah jalan yang terbaik untuk menyaingi Autokrasi Soviet. 

Lalu, dana yang besar diperuntukkan oleh Amerika melalui pertubuhan-pertubuhan ini untuk memasarkan demokrasi di seluruh dunia. Campur tangan politik di negara-negara sasaran mereka, beroperasi atas nama demokrasi. Realitinya, pasaran ini boleh mengheret kepada ‘gangguan’ kestabilan politik di negara sasaran mereka.

Malaysia yang mengamalkan demokrasi, kemudian terserap dengan elemen Oligarki, secara tidak langsung membuka peluang kepada kuasa asing untuk campur tangan urusan negara ini. Sudah pasti campur tangan tersebut atas nama demokrasi, manakala di belakangnya didanai oleh pertubuhan-pertubuhan tadi.

Operasi 50-an – 60-an

Pendanaan asing walaupun rancak pada zaman Ronald Reagan, namun hakikatnya ia bermula sejak tertubuhnya USAID pada 1961 lagi. Antara era 50-an hingga 60-an, Amerika lebih tertumpu kepada operasi ‘pertukaran rejim’ melalui agen risikan (CIA). 

Cuma, ketika itu USAID lebih tertumpu kepada menggalakkan pertumbuhan ekonomi, dengan meyakini bahawa pertumbuhan ekonomi mampu merangsang demokrasi. Antara kaedahnya seperti menggalakkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dan mengadakan perjanjian perdagangan bebas.

Teknik menggalakkan pertumbuhan ekonomi ini dibawa ke Malaysia. Amerika kerap menjadi salah satu daripada tiga penyumbang FDI terbesar di Malaysia. Bahkan, Malaysia juga merupakan sumber import Amerika yang ke 17 terbesar, dan merupakan destinasi eksport ke-25 terbesar bagi 2014. 

Zaman Ronald Reagan

Untuk menjuarai politik dunia ini, Amerika memperuntukkan berbilion Dollar untuk menubuhkan dan menaja badan-badan tertentu bagi memasarkan Demokrasi-Liberal. Amerika merasakan ‘Demokrasi-Liberal’ adalah jalan mendominasi kuasa Antarabangsa.

Justeru, langkah yang diambil oleh Amerika pada zaman Ronald Reagan ialah menubuhkan beberapa pertubuhan penting. Antara pertubuhan yang ditubuhkan pada awal 80-an ialah:

1. National Endowment Of Democracy (NED).

Pertubuhan ini adalah promoter demokrasi paling berprofil tinggi. Ia dianggap sebagai pengganti kepada operasi rahsia yang dijalankan oleh CIA sebelum itu. Dua pertubuhan yang menerima dana terbesar daripada NED ialah IRI dan NDI, bagi menjalankan aktiviti dan penyaluran dana Amerika.

Pertubuhan ini mengawasi sekitar 1,200 geran setahun, di hampir 100 buah negara termasuk Malaysia. Operasi pertubuhan ini dijalankan secara terbuka, dan penerima geran harus bersetuju bahawa dana yang diberikan boleh diakses oleh orang awam, sepertimana yang dibentangkan dalam laporan tahunannya. 

2. National Democratic Institute (NDI).

Pertubuhan ini lebih tercampur kepada isu berkaitan masyarakat Sivil, pengukuhan Legislatif, pilihan raya dan tadbir urus. Pertubuhan ini dikaitkan dengan Parti Demokrat Amerika. Pertubuhan ini lebih membawa imej Antarabangsa. Pejabat operasi badan ini terletak di Myanmar. Bajet yang diperolehi oleh pertubuhan ini serta aktiviti yang mereka jalankan di Malaysia antara 2002-2016 sebanyak USD 2,255,557.

3. International Republican Institute (IRI).

Pertubuhan ini ada hubungan dengan Parti Republikan. Pertubuhan ini lebih fokus kepada pembangunan parti dan sistem Parlimen, dengan memfokuskan latihan akar umbi. Pertubuhan ini lebih membawa imej Amerika. Pejabat pertubuhan ini berada di Bangkok, Thailand. Bajet yang diperolehi oleh pertubuhan ini serta aktiviti yang mereka jalankan di Malaysia antara 2002-2016 sebanyak USD 5,616,919.

Selepas zaman Reagan, USAID yang saya ceritakan tadi, turut berubah. Daripada beroperasi dengan cara menggalakkan pertumbuhan ekonomi, kepada melancarkan pendanaan ‘inisiatif demokrasi’. Ia lebih lebih berbentuk pembangunan dan mensasarkan komitmen jangka masa panjang. Antaranya membantu membangunkan institusi demokratik sesuatu negara.

Penerima dana NED di Malaysia

Selain daripada IRI dan NDI yang menerima dana NED untuk aktiviti di seluruh dunia, termasuk Malaysia, penerima dana NED di Malaysia antaranya;

1. Southeast Asian Press Alliance (SEAPA).
2. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).
3. Malaysiakini.
4. Merdeka Center.
5. Liberal Banter.
6. Lawyers of Liberty.
7. Islamic Renaissance Front Berhad (IRF).
8. Asian Forum.
9. KiniTV.
10. Open Dialogue Centre.
11. Southeast Asia Centre for E-Media (SEACEM).
12. Centre for Independent Journalism (CIJ).
13. Center for International Private Enterprise (CIPE).
14. Center to Combat Corruption and Cronisym (C4)
15. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).
16. Projek Dialog.

Senarai ini berdasarkan Laporan Tahunan NED 1991; 1999-2016

Setiap pertubuhan ada peranan dan fungsi tertentu, beserta dana yang diterima antara 1999-2016. Iaitu;

1. Sektor Pilihan Raya dan Parti Politik : IRI dan NDI sebanyak USD 7,872,476.

2. Sektor Media dan Pengaliran Bebas Maklumat : Malaysiakini, SEAPA, SEACEM, KiniTV, CIJ dan Merdeka Centre sebanyak USD 1,758,033.

3. Hak Asasi Manusia dan Perundangan : Asian Forum, SUARAM, Lawyers for Liberty dan Liberal Banter sebanyak USD 1,255,500.

4. Islam dan Demokrasi : IRF, Open Dialogue Centre dan Projek Dialog sebanyak USD 395,151.

5. Tadbir Urus dan Anti-Korupsi : CIPE, C4 dan IDEAS sebanyak USD 219,493.

Hakikat yang perlu kita sedar

Kita perlu sedar, bahawa bukan NED sahaja yang mendanai pertubuhan-pertubuhan di Malaysia. Ini hanya sebagai contoh sahaja bagi menyatakan bahawa pendanaan asing di Malaysia seolah-olah sudah tersebati. Walaupun kita melihat ‘perjuangan’ pertubuhan-pertubuhan itu kelihatan bagus, namun kita tetap perlu sedar bahawa mereka membawa agenda Amerika.

Kita juga perlu sedar mengenai ‘pengaruh duit’. Secara umumnya, dana-dana ini boleh memberi kesan terhadap persaingan atau pergolakan politik sesebuah negara. Contohnya, pendanaan ini disalurkan mengikut dua cabang, iaitu;

1. Program serasi-rejim (regime compatible).

Ia lebih bersifat lunak dan tidak menggugat kerajaan yang memerintah. Contohnya, dana yang disalurkan untuk menambah baik sektor keselamatan, pentadbiran awam dan badan kehakiman. Sebanyak USD33.57 juta diperuntukkan untuk cabang ini antara 1999 hingga 2015.

2. Program tidak serasi-rejim (not regime compatible).

Ia lebih bersifat konfrontasi dengan memperkasakan pihak NGO, CSO dan parti pembangkang. Contohnya memupuk penglibatan demokratik masyarakat Sivil dan pengaliran maklumat yang lebih bebas oleh pengamal media. Sebanyak USD14 juta diperuntukkan untuk cabang ini antara 1999-2015.

Nilai USD33.57 juta dan USD14 juta ini dinyatakan atas nama bantuan demokrasi yang disalurkan oleh Amerika ke Malaysia antara 1999 hingga 2015. Jumlah yang diperuntukkan ialah sebanyak USD47.64 juta dalam tempoh 6 tahun. Bukanlah satu angka yang kecil untuk diabaikan.

Secara ringkasnya, pendanaan asing di Malaysia ini dianggap normal dan dinikmati oleh kedua-dua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang. Hal ini tidak boleh dipandang sebelah mata, kerana kita sangat yakin bahawa ia boleh memberi pengaruh kepada suasana politik Malaysia.

Contohnya, sekiranya Amerika ingin tukar kerajaan, atau mengukuhkan kerajaan, menaikkan sesuatu, atau menjatuhkannya, mereka akan memperuntukkan belanja-belanja yang lebih besar kepada satu pihak. Justeru, percaturan politik, dan pergolakannya boleh berlaku atas kehendak pendana tersebut.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -