Dana NED: Lakukan siasatan segera

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan segera mengenai dakwaan bahawa pembangkang menerima pendanaan daripada National Endowment for Democracy (NED).

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, sekiranya dakwaan itu benar, tindakan tegas perlu diambil untuk mengelakkan sebarang ancaman terhadap keselamatan serta kestabilan negara.

- Advertisement -

“Bagi saya pendedahan ini dilakukan sendiri oleh Dr Kua Kia Soong ini perlu disiasat segera oleh pihak berkuasa negara seperti polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Bank Negara dan ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan).

“Jika terdapat unsur ancaman terhadap keselamatan dan memungkinkan ganggu gugat kepada kestabilan politik negara, maka satu tindakan tegas perlu dilakukan segera bagi memastikan anasir-anasir ini dapat dihapuskan serta merta,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.

NED merupakan badan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang didakwa membiayai parti pembangkang selama lebih sedekad.

Pendedahan itu dilakukan Penasihat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Dr Kua Kia Soong di Facebook miliknya baru-baru ini.

Tambah Dr Tawfik, jika siasatan mendapati pendedahan itu benar, maka penerima sumbangan berkenaan boleh dianggap sebagai pengkhianat terhadap kepada negara serta Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi saya jika siasatan menunjukkan dakwaan oleh Dr Kua Kia Soong itu benar, maka PH dan pemimpin yang menerima sumbangan daripada NED merupakan pengkhianat besar kepada negara dan menderhaka kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Kita tidak boleh menerima wujudnya pengkhianat dalam negara kita, parti-parti politik mempunyai alternatif lain untuk membiayai program politik mereka, tetapi pengkhianatan menerusi pembiayaan oleh sumber asing sama sekali tidak boleh diterima oleh kita,” ujar beliau

Sehubungan itu, beliau turut mendesak siasatan segera dilakukan dan diumumkan kepada seluruh rakyat bagi menghentikan segala sandiwara dan mengelakkan rakyat daripada terus tertipu.

Memetik laporan portal Agenda Daily pada 29 Ogos, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Dato’ Mohd Salleh Ismail dilapor mendedahkan terdapat pemimpin politik Malaysia menerima bantuan dan sokongan moral dari luar negara.

Ia membabitkan individu dan pertubuhan terutamanya di Amerika Syarikat bagi membolehkan pemimpin politik terbabit meneruskan karier mereka.

Isu itu kemudian dihangatkan semula Penasihat SUARAM, Dr Kua Kia Soong yang mendesak Pakatan Harapan (PH) menjelaskan hubungan mereka dengan National Endowment for Democracy (NED).

Seperti dilapor portal berita, Dr Kua mendakwa dana kepada blok pembangkang berlaku sejak sedekad lalu.

Menurut laporan itu hubungan antara PH dengan NED didedahkan Presiden International Republican Institute (IRI) AS, Daniel Twining, tiga tahun lalu. – HARAKAHDAILY 2/9/2021

- Advertisement -