Tokoh pendakwah Pahang terima sijil keahlian PAS

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: PAS Kawasan Indera Mahkota (PASKIM) telah menyerahkan sijil keahlian PAS kepada tokoh pendakwah yang tidak asing bagi negeri Pahang khususnya di daerah Kuantan iaitu Ustaz Mahmud Mat.

Yang Dipertua PASKIM, Andansura Rabu dalam kesempatan pertemuan itu merakam penghargaan atas usaha berterusan pendakwah gigih itu menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat walaupun berdepan cabaran penguasa sebelum ini.

- Advertisement -

“Ana ni lama dah daftar jadi ahli PAS. Masa tu daftar ahli di Kampung Pamah, Chenor, Maran. Ni minta arwah Pok Zaid selaku Ketua Cawangan Beserah Selatan dapatkan sijil ahli PAS.

“Cabaran menyampaikan dakwah yang ana dihadapi adalah sangat kecil dan sedikit jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan Rasulullah S.A.W, para Sahabat R.A, tabien dan thabit tabien serta ulamak silam.

“Ana ni pernah la diberi ruang banyak kali juga untuk berceramah melalui Radio Malaysia Pahang. Kini ana dah bersara, jadi ruang ceramah hanya berkuliah di masjid dan surau,” ujar Ustaz Mahmud kepada Andansura.

Beliau turut menceritakan halangan yang mencemaskan dihadapinya sewaktu 22 bulan Kerajaan Pakatan Harapan mentadbir negara ini, namun itu tidak mematahkan usaha berterusannya dalam menyampaikan seruan Islam kepada masyarakat.

Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Penaja Dewan Ulamak PASKIM, Ustaz Mohd Basri Arifin yang hadir bagi menyerahkan borang keahlian Dewan Ulamak PAS Kawasan. 

“Dewan Ulamak PAS Kawasan ini masih dalam proses kelulusan ROS (Pendaftar Pertubuhan Malaysia). Moga-moga hujung bulan ini akan lulus la,” ujar Ustaz Basri.

Andansura dalam pada itu menyeru agar lebih ramai tokoh masyarakat sama ada para pendakwah, profesional, aktivis masyarakat, anak muda dan rakyat seluruhnya agar menyertai PAS bagi sama-sama membina dan memulihkan negara mengikut ajaran Islam. – HARAKAHDAILY 21/9/2021

- Advertisement -