Jalur Gemilang semarak perpaduan, pupuk patriotisme

- Advertisement -

KLUANG: Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Kawasan Kluang telah mengadakan agihan Jalur Gemilang kepada para pengguna jalan raya secara pandu lalu di Jalan Ciku dan Taman Intan, di sini kelmarin.

Inisiatif sempena Hari Malaysia ini bertujuan menyemarakkan perpaduan antara rakyat pelbagai kaum dan menyuntik semangat patriotisme terhadap negara serta memeriahkan lagi sambutan berkenaan di daerah ini.

Penganjuran edaran ini turut berhasrat agar warga setempat terus memperingati, menghayati dan memahami sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia yang menggabungkan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu. 

- Advertisement -

“Inisiatif edaran ini sebagai satu alternatif bagi membolehkan Hari Malaysia terus disambut walaupun negeri Johor masih lagi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Dan pihak kami akan buat lagi program seperti ini pada masa akan datang,” ujar Ketua Penerangan PAS Kluang, Ikhwan Basaruddin.

Sebanyak 100 bendera diagihkan bersama cenderahati khas diberikan pada program ini yang menerima reaksi positif dari pengguna jalan raya dengan membunyikan hon sebagai tanda sokongan dan memeriahkan suasana.

Edaran yang menjadi sebahagian sambutan Kemerdekaan hingga Hari Malaysia ini melibatkan kerjasama dari Pemuda PAS Kluang, Jabatan Amal Kluang, Dewan Muslimat PAS Kluang, Ameerah Kluang dan Guru-guru PASTI.

PAS Kawasan Kluang sepanjang sambutan ini telah menaikkan kain rentang di kawasan tumpuan awam di samping pertandingan maya teka silang kata ‘Merdeka Prihatin Challenge’ dan kuiz ‘Keluarga Malaysia’.

Pertandingan dianjurkan tersebut ternyata menarik penyertaan menggalakkan bukan sahaja dari penduduk daerah ini dan negeri Johor, tetapi juga dari Selangor dan Perak para pelajar di Kaherah, Mesir.

Pimpinan PAS Kluang yang hadir sama adalah Timbalan Yang Dipertua, Mohd Nor Mohd dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kluang, Khairul Anuar Ahmad Kamil serta pimpinan Dewan-dewan. – HARAKAHDAILY 17/9/2021

- Advertisement -