Perpaduan negara: Perlu libatkan semua warga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu perpaduan negara masih belum selesai hingga kini, walaupun negara sudah 67 tahun mencapai kemerdekaan, demikian suara Senator Hussin Ismail di Parlimen hari ini.

Katanya, setiap hari negara menyaksikan timbulnya isu baru dan peningkatan kecenderungan terhadap perpecahan yang tidak diingini dalam usaha memperkasakan perpaduan negara ini.

- Advertisement -

“Kita sudah 67 tahun merdeka, namun isu perpaduan negara sehingga hari ini masih tidak selesai.

“Malah, bukan menurun, hari-hari kita melihat kepelbagaian isu baru timbul dan kecenderungan untuk anasir yang tidak diingini dalam memperkasakan perpaduan negara ini nampaknya makin menjadi-jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Katanya lagi, segelintir individu menyebut semua rakyat adalah pendatang di negara ini.

“Kadang-kadang ada orang menyebut, siapapun daripada tempat ini, kita semua ni adalah pendatang.

“Saya tidak fikir orang Cina di negara China kata dia pendatang, Saya tidak fikir orang India di negara India, dia pendatang, dan tidak patut dipikir bahawa orang Melayu di tanah Melayu adalah pendatang,” ujarnya.

Justeru itu, perbezaan ini perlu dilihat dalam sudut positif.

“Dalam perspektif yang positif, ambil realiti yang ada ini sebagai suatu anugerah Allah bukan ambil dari sudut negatif untuk melihat masing-masing ada gah sehingga melihat orang lain mungkin lebih rendah atau tidak seperti kita.

“Kalau kita mampu mengurusnya dengan betul, saya yakin isu perkauman, isu perpaduan yang sudah lama tempohnya kita mampu noktahkan, namun memerlukan suatu kesediaan seluruh warga,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -