Kerajaan tidak berminat laksana cukai warisan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Abdul Nasir Idris menyarankan kerajaan memperkenalkan cukai warisan bagi meningkatkan pendapatan negara yang boleh dikenakan ke atas golongan kaya di negara ini.

“Bagi meningkatkan pendapatan negara, terutamanya dari pihak cukai, adakah kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan cukai warisan, iaitu cukai daripada orang kaya, seperti yang ada ditengahkan oleh beberapa pihak.

- Advertisement -

“Dan adakah kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan satu sistem ataupun kriteria supaya aset golongan kaya yang berada di luar negara dapat kita kenakan cukai,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika membuat soalan tambahan semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan kepada Kementerian Kewangan di Dewan Negara, di sini hari ini.

Pada soalan asal, beliau meminta kementerian berkenaan menyatakan perincian jumlah penalti dan hasil bukan cukai berjaya diperoleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) daripada langkah diambil untuk mendapatkan kembali cukai dan hasil yang gagal dikutip.

Walau bagaimanapun, Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, kerajaan tidak bercadang melaksanakan cukai tersebut buat masa ini.

“Mengenai cadangan pengenaan cukai warisan atau dikenali cukai harta pusaka, untuk maklumat ahli yang berhormat, kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan cukai warisan buat masa ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024