Ketepi agenda peribadi, terus perkukuh MN, PN

- Advertisement -

MARANG: Pemuda PAS Kawasan Marang menyambut baik gesaan Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa berkait pengukuhan penyatuan parti politik Melayu tanpa meminggirkan bukan Melayu dan Islam.

Ketuanya, Ustaz Yusuf Abdul Hadi berkata, penyatuan parti teras Melayu antara PAS, Umno dan Bersatu perlu diperkukuh kembali bagi memastikan rakyat tidak lagi dibebani pelbagai drama ‘politiking’ melampau.

“Penyatuan ummah bukan hanya impian Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetapi ia merupakan hasrat keseluruhan rakyat Malaysia yang sudah serik untuk berada di bawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak mampu untuk memelihara keharmonian bangsa dan agama di negara kita yang tercinta ini,” ujarnya, di sini.

- Advertisement -

Menurutnya, seluruh rakyat menjadi saksi apabila negara berada dalam keadaan porak peranda ketika ngara ditadbir oleh Pakatan Harapan dan segelintir pemimpin politik sibuk mencatur kuasa demi kepentingan peribadi.

Tambahnyta, bagi memastikan usaha penyatuan ummah ini berjaya, semua pihak harus mengetepikan sebarang agenda peribadi dan sikap rakus terhadap kuasa sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni antara satu sama lain.

“Sikap sombong, meninggi diri, merendahkan pihak lain dan tidak ikhlas bekerjasama antara beberapa sikap yang wajib dijauhkan agar penyatuan ummah ini benar-benar berjaya.

Menyentuh tentang Undi 18, beliau berkata pihaknya percaya anak muda mampu memilih pemimpin yang berkualiti selaras dengan kehendak Islam pada pilihan raya umum akan datang sekiranya setiap daripada mereka mendapat pendidikan politik yang betul mengikut syariat Islam.

Justeru, ujarnya Pemuda PAS Marang akan menggerakkan seluruh jentera bagi memastikan anak-anak muda Melayu Islam yang layak mengundi buat kali pertama memahami kepentingan kuasa politik untuk dikuasai oleh masyarakat dominan bagi mewujudkan ‘Negara Sejahtera’. – HARAKAHDAILY 18/12/2021

- Advertisement -